Afgan Mahu Bawa Diri ke USA

Penyanyi pujaan ramai, Afgan mengumumkan mahu berehat dan membawa diri ke Amerika Syarikat selepas selesai membuat persembahan di Konsert Inspirasi Afgan Live in Kuala Lumpur pada 5 Oktober hadapan.

Jelas Afgan sudah sampai masanya dia mengambil cuti panjang setelah sepanjang 11 tahun berkecimpung bergelar penyanyi, dia tidak pernah berehat daripada menjalani rutin kerja yang sibuk.

“Jika sebelum ini setiap minggu pasti ada sahaja gig dan konsert. Sudah 11 tahun saya menjalani rutin kerja yang sama. Saya sudah merindui saat-saat ketika saya baru bergelar artis. Perasaan teruja itu sudah tidak ada kerana setiap hari saya sudah tahu apa yang akan berlaku.

Jadi kali ini saya nekad untuk berehat panjang. Saya mahu menggunakan masa yang ada untuk mencari peluang baru. Saya mahu keluar daripada zon selesa.”

Dalam masa yang sama, saya juga mahu memberi tumpuan kepada proses pembikinan album terbaru yang akan dilakukan di Amerika Syarikat,” ujar Afgan ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 yang diadakan di Common Ground, Menara Ken TTDI pada Selasa.

Jelas penyanyi berusia 30 tahun itu lagi, biarpun dia akan berangkat ke Amerika Syarikat pada September hadapan, namun ini bukan bermakna dia akan sentiasa berada di sana. Sebaliknya, akan sering berulang-alik dari Jakarta, Indonesia.

“Oktober nanti saya harus pulang untuk Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019. Proses rakaman album ini pastinya mengambil masa yang agak panjang kerana saya mahu mencuba sesuatu yang baru. Jadi, saya bukanlah sentiasa berada di sana,” ujar Afgan yang merancang untuk bercuti sehingga ke pertengahan tahun hadapan.

Mengulas tentang konsertnya yang bakal diadakan pada 5 Oktober nanti, Afgan memberitahu dia akan menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu-lagu hits yang menjadi siulan ramai.

Yang menariknya, konsert ini juga menyaksikan Afgan buat pertama kalinya akan berkongsi pentas bersama idolanya, Datuk Sheila Majid.

“Kami sudah berbincang tentang persembahan pada konsert itu nanti. Ada beberapa lagu yang sudah kami pertimbangkan. Saya berharap peminat-peminat yang datang nanti akan terhibur dengan persembahan kami dan saya mahu mereka yang hadir meraikan perjalanan muzik saya selama ini,” ujar Afgan lagi.

Peminat Afgan masih belum terlambat untuk mendapatkan tiket konsert dengan melayari https://proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur/ . Tiket dijual pada harga RM299 (Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1200 (Royal Box) dan pembeli tiket Royal Box bakalmenerima pas Meet and Greet dan minuman ringan sebelum konsert.

Tiket -tiket kini sudah terjual sebanyak 75 peratus. Konsert yang bakal diadakan HGH Convention Centre ini dianjurkan oleh Popcorn Studio Sdn.Bhd  dan mendapat tajaan dan kerjasama dari HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan Greenbox.

Kredit foto : Popcorn Studio Sdn Bhd