Agama tiang penegak Revolusi Industri 4.0?

Teknologi Adea Ghafar
Pilihan oleh Siti Suriani Othman
Agama tiang penegak Revolusi Industri 4.0?
Agama tiang penegak Revolusi Industri 4.0? © Sompong Sriphet | Dreamstime.com

The Fourth Industrial Revolution (4IR) atau Revolusi Industri Keempat (RI4). Inilah era di mana semua urusan kehidupan harian manusia akan dipermudahkan dan dikongsi dengan teknologi hebat yang mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

Kali ini, penulisan artikel akan membincangkan Revolusi Industri 4.0 dan kepentingan agama dalam menjayakan RI4.

Apakah sebenarnya Revolusi Industri 4.0?

Revolusi Industri 4.0 adalah pentas berbeza yang tidak pernah difikirkan manusia dan kita juga tiada pengalaman tentangnya. Revolusi perindustrian pertama bergantung kepada kuasa wap untuk menggerakkan industri, revolusi kedua dengan kuasa elektrik dan revolusi ketiga dengan asas utama teknologi maklumat dan komputer.

Hari ini, Revolusi Industri 4.0 dijayakan dengan hebat. Kemunculan robot, kenderaan tanpa pengemudi, internet of things dan pelbagai teknologi baharu adalah jauh lebih canggih daripada teknologi yang kita kenali sebelum ini.

Ramai sarjana juga bersetuju akan peri pentingnya teknologi berkepintaran buatan diselia dengan jauh lebih rapi berbanding teknologi yang pernah kita gunakan sebelum ini.

Mengapa agama menjadi semakin penting dalam Revolusi Industri 4.0?

Teknologi pintar hari ini berkeupayaan membuat perkara-perkara yang tidak pernah ada teknologi sebelumnya mampu melaksanakan atau menguruskannya. Misalnya, robot dicipta hari ini untuk memudahkan banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk urusan seharian serta urusan berkaitan pekerjaan.

Maka, isu etika menjadi isu yang sangat penting yang perlu ditingkatkan kesedaran dan pengamalannya oleh manusia moden. Ini sekiranya jika kita mahu kekal relevan dalam persaingan sengit dengan robot ciptaan mereka sendiri.

Misalnya, hari ini sudah ada robot dicipta untuk menghasilkan penulisan berita sepantas beberapa minit selepas sesuatu peristiwa berlaku. Di manakah nilai seorang graduan kewartawanan selepas ini atau beberapa tahun akan datang jika bukan etika dan penilaian kemanusiaan yang menjadi garis halus pemisahnya?

Manusia perlu sentiasa berinovasi untuk bertambah baik

Maka, persaingan dengan robot ini memerlukan manusia sentiasa berinovasi meningkatkan pengetahuan serta pengalaman diri berkaitan etika dan moral. Di sinilah agama dilihat berupaya mendidik manusia dan memainkan peranannya dengan lebih berkesan kerana manusia sudah nampak keperluannya.

Agama bukan lagi berfungsi hanya sebagai satu bentuk kepercayaan yang diwarisi atau keperluan kerana desakan masyarakat. Tetapi agama menjadi entiti yang benar-benar ‘menghidupkan’ manusia dalam erti kata sebenar.

Dalam Islam, hal ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang menitikberatkan keperluan umatnya untuk terus bersemangat meneruskan tugasan seharian dengan sentiasa memperbaiki diri dan kualiti tugasan:

“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kekuatan ini adalah antara yang memastikan survivabiliti manusia untuk kekal berfungsi dan kekal relevan.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.