Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Agamawan contoh ikutan masyarakat

Islam 20 Dis 2020
Pendapat oleh Tari Basir
Agamawan contoh ikutan masyarakat
Agamawan contoh ikutan masyarakat © Irshad Rasheed | Dreamstime.com

Mutakhir ini, masyarakat dihidangkan dengan beberapa berita sensasi yang tidak begitu cantik dan tak diingini, terutamanya kerana ia berkaitan dengan beberapa personaliti agama. Adakah tokoh sebegini boleh dianggap ‘agamawan’ contoh ikutan masyarakat?

Antara persamaan yang jelas di kalangan agamawan ini ialah mereka dilahirkan daripada rancangan realiti yang berunsurkan keagamaan. Adakah silap ini datangnya daripada rancangan tersebut yang tidak akan boleh lari daripada elemen komersial, atau diri agamawan tersebut?

Berhati-hati dengan harta, kuasa dan wanita

Tidak kira pihak manakah yang salah mahupun betul, berita sensasi ini sebenarnya mengingatkan masyarakat kepada kisah Nabi Muhammad SAW. Baginda ditawarkan harta, kuasa dan wanita daripada Musyrikin Mekah.

Ketika mana dakwah Nabi Muhammad SAW terus berkembang pesat di sekitar Mekah, pelbagai cara telah dilakukan oleh Musyrikin Mekah bagi menoktahkan dakwah Baginda.

Bermula daripada protes terhadap dakwah. Tohmahan yang memfitnah bahawa Rasulullah SAW seorang yang gila, dipersenda dan diaibkan sehinggalah ke ancaman nyawa. Kesemuanya tidak mampu menoktahkan dakwah Baginda, bahkan ia semakin pesat berkembang.

Kegagalan penentangan secara langsung, menyebabkan Musyrikin Mekah mencuba cara yang lembut pula dengan menawarkan tiga perkara yang mampu mengoncangkan agamawan, iaitu harta, kuasa dan wanita.

Namun, keikhlasan dakwah Nabi Muhammad SAW tidak akan boleh dibeli dengan ketiga-tiga perkara yang menjadi kegilaan seorang lelaki. Oleh sebab itulah, seluruh agamawan di dunia terutamanya seorang lelaki perlulah mengambil iktibar terhadap kisah Baginda ini. Berhati-hati dengan dugaan di sebalik harta, kuasa dan wanita.

Kegagalan dalam berhati-hati dengan ujian ini bakal menyebabkan seseorang agamawan itu terjerumus ke dalam lembah kehinaan, ketika mana kemuliaan dirinya telah diangkat oleh masyarakat khususnya disebabkan ilmu dan amal yang dimilikinya.

Tiada istilah agamawan segera

Hakikatnya, hanya dua sebab sahaja yang menyebabkan masyarakat memandang tinggi kepada agamawan. Atau seseorang yang mengambil jurusan agama di universiti, tahfiz, pondok dan sebagainya – iaitu ilmu dan amal.

Ilmu keagamaan bukanlah sesuatu yang boleh diraih oleh semua lapisan masyarakat, apatah lagi mempunyai masa untuk mendalaminya. Kerana itulah Baginda bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari iaitu:

“Barangsiapa yang Allah kehendaki menjadi baik maka Allah faqihkan dia terhadap agama.”

Namun, perkara ini kadangkala disalah gunakan oleh orang-orang tertentu dengan hanya menjadi agamawan di media sosial, sehingga disalah ertikan oleh masyarakat sebagai agamawan. Malahan, mereka memiliki followers yang  lebih ramai berbanding agamawan yang sebenarnya.

Perkara inilah yang menyebabkan akhirnya masyarakat lebih memandang ketinggian amal. Bahkan menjadi idola dan ikutan masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew contohnya. Kerana bukan semua agamawan yang berilmu mampu beramal dengan ilmunya.

Tuntasnya, kecelikan masyarakat pada masa kini menyebabkan golongan agamawan sentiasa diperhatikan. Mana yang baik menjadi ikutan, mana yang buruk menjadi kecaman.