Ahmad Badri dilantik pengerusi baru KWSP

Perniagaan Syed Safri 30-Apr-2020
By KWSP - Public Domain, Link

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi baru, berkuatkuasa pada 1 Mei 2020. Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat selama lebih 13 tahun sebagai Pengerusi.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, sebelum pelantikan itu, Ahmad Badri adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di mana dia telah berkhidmat selama hampir 30 tahun.

Ahmad Badri telah berkhidmat sebagai salah seorang ahli Panel Pelaburan KWSP semenjak 2014. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari.

Beliau juga menganggotai beberapa lembaga majlis, termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd.

Sebagai tambahan kepada persaraan Samsudin, KWSP juga mengumumkan persaraan Tan Sri Azman Shah Haron, yang telah menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil majikan sejak 2007.

Azman ialah presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia dan juga adalah ahli lembaga pengarah beberapa syarikat termasuk Alangka-Suka Hotels and Resorts Bhd, dan pelbagai anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd.

KWSP mengucapkan ribuan terima kasih dan ucapan tulus ikhlas kepada Samsudin dan juga Azman atas semua sumbangan, kepemimpinan dan jasa yang amat dihargai selama berkhidmat di KWSP.