AI bakal bantu hakim mahkamah di Sabah

Kehidupan Adea Ghafar 30-Jan-2020
Teknologi AI
Teknologi AI © Itsanan Sampuntarat | Dreamstime.com

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mengumumkan mengenai Mahkamah Kota Kinabalu yang akan menjadi mahkamah pertama di negara ini menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam menganalisa dan menghukum pihak tertuduh.

Liew berkata, aplikasi AI tersebut akan digunakan dalam satu perbicaraan kes jenayah pada 17 Februari ini. Menurut beliau, aplikasi AI ini telah dilancar oleh oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Kah Wah di Kuching, Sarawak pada 17 Januari lepas. Ia juga diadakan bersempena dengan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak.

Sebagai langkah permulaan, aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan ini akan digunakan dalam kes-kes yang melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berkaitan dengan kesalahan memiliki dadah. Ia juga akan melibatkan kes-kes yang berkaitan dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol.

Liew menemui pemberita selepas taklimat penggunaan aplikasi AI di Mahkamah Kota Kinabalu dan katanya, teknologi AI ini akan membantu dan membolehkan para hakim dan majistret menganalisa hukuman yang sesuai untuk diberikan kepada pihak tertuduh. AI akan menolong mengurangkan jurang hukuman dan memastikan kesaksamaan dan konsistensi dalam hukuman yang dikenakan ke atas pihak tertuduh.

Menurutnya lagi, penggunaan aplikasi AI hanya akan menjadi panduan kepada pegawai kehakiman dalam membuat keputusan. Seterusnya, sebelum  hukuman dijatuhkan, hakim dan majistret akan memaklumkan hasil analisa AI tersebut kepada semua pihak, termasuk peguam bela dan pendakwa raya.

Walau bagaimanapun, kebijaksanaan dan keputusan hakim dan majistret dalam mengenakan hukuman yang sewajarnya tidak terjejas oleh pelaksanaan teknologi AI ini. Liew berkata, hukuman yang dikenakan dengan menggunakan aplikasi ini akan menganalisa data bagi kesalahan yang didapati dari kes-kes yang berdaftar di Sabah dan Sarawak.