Air – Anugerah Tuhan kepada makhluk-Nya

Kepercayaan Chan Abdullah 15-Mei-2020
Air anugerah Tuhan © Joaquin Corbalan | Dreamstime.com

Air adalah sumber kehidupan semua makhluk di dunia. Begitulah kepentingan air kepada manusia. Tanpa air, nescaya sukar untuk semua benda hidup untuk terus berfungsi. Malah asal kejadian manusia juga adalah daripada setitis air mani.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan, ayat 54: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air (mani) lalu dijadikannya mempunyai pertalian nasab dan hubungan kekeluargaan dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”

Bahkan Yang Maha Pencipta turut menciptakan semua makhluk daripada air. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’, ayat 30: “Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga mahu beriman?”

Air itu sumber kehidupan. Allah SWT dalam surah Al-Hajj, ayat 5 berfirman: “Dan engkau melihat bumi itu kering kaku, namun apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

Air sudah pastinya sumber minuman. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hijr, ayat 22: “Kami hantarkan bayu sebagai ejen pembawa air dan pemindah benih; lalu dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit dan Kami hidangkan air untuk minuman kamu, sedangkan kamu sendiri tidak berupaya menyimpannya.”

Air itu alat penyucian, diterangkan dalam surah Al-Anfal, ayat 11: “(Ingatlah) ketika kamu dilanda perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman daripada Allah (untuk menenangkan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk membersihkan kamu dengannya dan menghapuskan gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan memantapkan pendirian kamu (di medan perjuangan).”

Air ialah satu nikmat yang telah dijadikan oleh Allah SWT, bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat kelak. Firman Allah SWT: “Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang yang bertakwa (sangat istimewa). Di dalamnya terdapat beberapa sungai daripada air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya (menjadi masam), serta beberapa sungai daripada arak yang lazat bagi orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai daripada madu yang suci bersih.”

“Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan daripada Tuhan mereka. (Adakah orang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang yang tinggal kekal di dalam neraka diberi minum daripada air yang menggelegak sehingga menghancurkan isi perut mereka? (Sudah tentu tidak sama)!” (Surah Muhammad, ayat 15)

Air sememangnya satu anugerah Ilahi kepada makhluk-Nya yang tidak ternilai. Kita haruslah bersyukur atas kurniaan Maha Suci Allah SWT.