Air Kelapa baik untuk badan dan kesihatan anda

Selera Hanita Hassan 11-Okt-2020
Air Kelapa © rasa.my
Air Kelapa © rasa.my

Air kelapa adalah minuman yang menyegarkan terutama untuk menghilangkan dahaga ketika cuaca panas.  Selain enak diminum begitu sahaja, ia juga boleh dipelbagaikan penyediaannya.  Di Melaka, air kelapa popular kerana sinonim dengan Coconut Shake.

Air Kelapa Coconut Shake

Rasa segar air kelapa dengan isinya yang dicampur dengan rasa manis  dan kental aiskrim vanila, membantu menghilangkan dahaga sekelip mata.  Bagi penggemar Coconut Shake, apa kata anda buat sahaja di rumah kerana ia bukan sahaja menjimatkan tetapi juga bersih dan murah.

Bahan tambahan selain air kelapa ialah aiskrim vanila dan isi kelapa muda.  Sekiranya anda mengikut resepi ini, rasanya sama macam di kedai, lebih puas dengan rasa kelapa yang banyak dan aiskrim mengikut cita rasa anda sendiri.

Anda cuma perlukan satu cawan air kelapa muda dengan isi sekali, satu cawan ais krim vanila, satu cawan ais ketul dan tiga sudu besar susu pekat.  Kesemua bahan ini dikisar sampai lembut.  Siap dan boleh terus tuang dalam gelas.  Anda juga boleh hiaskan dengan nata de coco atau coklat urai atau letakkan ais.

Dalam keadaan haus dan dahaga, anda hendaklah bersabar ketika minum.  Usah gelojoh.  Duduk dan ucapkan basmalah dahulu sebelum meneguk air.  Sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali.  Meminum air dengan satu nafas tidak dilarang dalam Islam tetapi ia tidak baik jika dilakukan di dalam bekas minuman.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.  Baginda bersabda:  “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.”  Anas berkata:  Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.”  (Hadis riwayat Muslim, 2028)

Khasiat air kelapa

Air kelapa banyak khasiatnya dan baik untuk kita amalkan.  Sekiranya ia diminum secara berterusan dan tidak berlebihan, air kelapa boleh menjadi penawar untuk kesihatan badan.  Air kelapa rendah kalori, rendah lemak dan penuh dengan vitamin dan mineral penting untuk tubuh badan.

Bagi anda yang sedang mengurangkan berat badan, air kelapa tidak akan membuatkan anda gemuk.  Kandungan lemak dalam air kelapa adalah sangat rendah.  Meskipun diminum secara berlebihan, ia tidak mengganggu diet.

Berita baik kepada kaum wanita yang mementingkan penjagaan kulit wajah, minum air kelapa secara kerap boleh membantu memulihkan kelembapan semula jadi kulit.  Bahan Cytokinins yang terdapat dalam air kelapa akan memberi kesan melambatkan proses penuaan pada tisu dan sel-sel kulit.

Air kelapa juga membantu proses penghadaman kerana kadar seratnya tinggi. Bagi anda yang sering mengalami kembung perut dan sukar hadam makanan, minumlah air kelapa untuk mencegah masalah pencernaan.  Selain itu, kandungan elektrolit yang mencukupi dalam air kelapa berupaya mengimbangi kandungan elektrolit dalam badan.

Air kelapa adalah air yang selamat dan bersih untuk diminum.  Mineral yang terdapat dalam air kelapa sama dengan yang kita perlukan untuk kesihatan termasuk kalsium, zat besi, kalium, natrium, tembaga dan zink.  Untuk itu, usah bimbang untuk meminumnya.