Air tangan isteri – suami yang memasak dan membantu

Kehidupan Hanita Hassan 20-Sep-2020
dreamstime_s_183997422
Air tangan isteri © Lenar Nigmatullin | Dreamstime.com

Air tangan isteri adalah senjata yang dapat mengeratkan hubungan suami  dan anak-anak. Mungkin kenyataan ini kelihatan sudah agak basi terutama dalam dunia hari ini, yang mana isteri juga punya kerjaya seperti suami, namun itulah hakikatnya.

Petua orang dahulu, kalau hendak menawan hati suami, jagalah perutnya.  Isteri perlu rajin ke dapur, memasak dan menyediakan makanan untuk suami tanpa perlu memberi alasan.  Ibarat kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Tugas di dapur semakin mudah dengan adanya pelbagai teknologi memasak.  Sebagai contoh penggunaan periuk nasi elektrik. Beras yang siap dibasuh, cuma masuk ke dalam periuk dan biarkan teknologi masakkan nasi.

Begitu juga dengan masakan lauk pauk.  Anda juga boleh menggunakan periuk tekanan untuk membantu kerja-kerja memasak.  Selain cepat, ia juga penuh berkhasiat. Sambil memasak, anda juga boleh melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Percayalah, apabila suami melihat usaha dan kesungguhan anda, dia akan terpanggil turut sama membantu melakukan kerja-kerja rumah yang lain. Seperti mengemas dan menyapu rumah, menyiram pokok bunga atau mengangkat dan melipat baju.

Atas usaha dan kerjasama ini, maka anda juga perlu mengucapkan terima kasih kepada suami.  Ia sebagai galakan untuk meningkatkan dorongan suami untuk terus membantu anda di rumah.

Bagi memudahkan anda yang bekerja untuk memasak setiap hari, tips mudah ialah dengan menyediakan semua bahan pada waktu cuti hujung minggu.  Cili sudah siap dikisar atau beli sahaja lebih mudah.  Bawang dikisar untuk seminggu.  Ikan, daging atau ayam sudah dibersihkan, sayuran sudah  dipotong dan diasingkan dalam bekas untuk memudahkan kerja anda di dapur.

Sekiranya anda baharu hendak bermula, cuba memasak makanan yang mudah dahulu.  Sebagai contoh, sardin, telor dadar, sup sayur dan sebagainya.

Banyak rancangan di televisyen mahupun di internet yang menyediakan ruang memasak.  Anda boleh menonton rancangan tersebut, ambil resepi dan boleh mula memasak untuk memikat hati suami.

Sesungguhnya tugas isteri sangat penting bukan sahaja di dapur tetapi juga sebagai pengurus rumah tangga selepas anda berkahwin. Saidina Umar r.a ketika menasihatkan Aqil r.a berkenaan kedudukan isteri, memberi alasan dengan banyaknya tugas isteri di rumah. Isteri mengasuh, memasak dan seumpamanya.

Ia juga dilakukan oleh Asma’ binti Abu Bakar r.a dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam r.a. Bukan suatu hal yang pelik kerana dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra r.a yang membantu suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib r.a dengan mengisar gandum dan sebagainya.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.  Namun bagi suami yang berkemampuan, bolehlah meringankan tugas isteri dengan menggajikan seorang pembantu rumah dan menyediakan perkakasan memasak elektrik yang memudahkan tugas isteri.

Tugas dan tanggungjawab membina rumah tangga yang harmoni, baiti jannati pada akhirnya adalah terletak pada kedua-duanya. Persefahaman dan saling membantu boleh menatijahkan kebahagiaan.