AirAsia Mula Penerbangan Sulung Ke Melaka

Bagi anda yang berada di negeri-negeri utara Semenanjung, perjalanan anda ke Melaka tidak lagi akan mengambil masa yang lama kerana AirAsia kini menawarkan laluan penerbangan dari Pulau Pinang ke bandaraya bersejarah itu.

Mula membuat penerbangan sulung pada 1 Julai 2019, penerbangan dengan kod AK6284 dan menggunakan pesawat Airbus A320 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 1.20 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada pukul 2.25 petang.

“Ini adalah hari yang membanggakan bagi AirAsia dan rakyat di kedua-dua bandaraya dan tapak warisan dunia UNESCO – Pulau Pinang dan Melaka.

“Laluan baharu ini bukan sahaja akan mengembangkan industri pelancongan tempatan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk kedua-dua bandar,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Tambahnya, rangkaian AirAsia yang meluas telah membuka pilihan penerbangan baharu untuk penduduk Melaka, terutamanya bagi mereka yang ingin melancong ke Sabah dan Sarawak atau ke destinasi lain di Asean.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua rakan kongsi atas sokongan mereka dalam menjadikan laluan ini satu kenyataan, dan berharap dapat meneroka lebih banyak peluang untuk terus meningkatkan kehadiran kami di Melaka,” jelasnya.

Melaka merupakan destinasi domestik ke-6 AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu kini terbang dari Pulau Pinang ke Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Singapura, Jakarta, Surabaya, Medan, Hanoi, Bandar Ho Chi Minh, Bangkok dan Phuket.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengalu-alukan perkhidmatan AirAsia ke negeri itu.

“Kami memuji usaha AirAsia melancarkan laluan baharu ini, yang bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019 (VMY2019).

“Pada tahun 2018, Melaka telah menerima 17.02 juta orang pelancong, yang mana 33.41% daripada mereka terdiri daripada pelancong asing. Tahun ini, sasaran kami adalah untuk menerima 20 juta orang pelancong.

“Di bawah inisiatif VMY2019, kami telah memperkenalkan pelbagai pakej penginapan dan aktiviti menarik untuk memenuhi permintaan para pelancong asing dan tempatan.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelawat ke Melaka melalui rangkaian AirAsia,” ulasnya.

AirAsia kini menawarkan diskaun 20% ke atas semua tempat duduk untuk semua penerbangan.

Tempahan boleh dibuat di airasia.com dan melalui aplikasi mudah alih AirAsia mulai sekarang sehingga 7 Julai 2019, sah untuk perjalanan antara 8 Julai dan 21 November 2019.

Anda hanya perlu log masuk dan bayar menggunakan BigPay untuk menikmati tambang terendah.

Bagi sebarang aktiviti terkini dan promosi AirAsia, boleh ikuti AirAsia di:

Twitter: twitter.com/AirAsia

Facebook: facebook.com/AirAsia

Instagram: instagram.com/AirAsia