Ajari anak adab dan budi pekerti

Keluarga Hanita Hassan
dreamstime_s_121110326
Ajari anak adab dan budi pekerti © - Dreamstime.com

Kata pepatah orang tua, ‘kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.  Sekiranya kita mahu mendidik anak supaya berbudi pekerti, hendaklah bermula sejak kecil. Ajari anak dengan adab dan budi pekerti.

Alah bisa tegal biasa. Apabila anak sudah terbiasa dengan sesuatu perkara sejak kecil, lebih mudah ia tertanam kuat dalam diri.  Berbanding apabila anak sudah dewasa, agak sukar dilentur kerana sudah terbiasa dengan kehidupan yang tidak beradab.

Ajari anak adab dan budi pekerti

Ibu bapa adalah teladan dan kunci utama kepada ilmu kehidupan anak.  Setiap kelakuan dan perangai anda akan menjadi cerminan kepada anak-anak.  Mereka akan menyerap setiap kata yang anda ucapkan dan meniru setiap perbuatan yang anda lakukan.  Dua perkara yang anda perlu didik anak ialah adab sopan santun dan adab di meja makan.

Sopan santun bermakna anak mengetahui adab untuk berterima kasih, tolong-menolong dan sentiasa memaafkan.  Apabila perkara-perkara ini dapat diamalkan dalam kehidupan harian, lebih mudah untuk anda menerapkan nilai-nilai murni lain kepada diri mereka.

Setiap kali anda ingin meminta sesuatu kepada anak, dahulukan dengan perkataan ‘tolong’.  Sekiranya anda melakukan kesilapan sama ada kecil atau besar, dahului dengan ucapan ‘maaf’.  Sebaliknya apabila anak-anak melakukan sesuatu yang baik kepada anda, ucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda penghargaan.

Meskipun perkataan tolong, terima kasih dan maaf adalah mudah untuk disebut namun ia tidak semudah perbuatan jika ia bukan amalan dalam hidup.  Apa yang anda lakukan akan menjadi ikutan dan mempengaruhi kelakuan anak.  Biasanya anak yang berusia enam tahun sangat mudah mencerap dan mengulang bahasa yang anda gunakan.

Sebagai seorang muslim, mengucapkan perkataan seperti ‘Assalamualaikum’ ketika hendak masuk atau keluar rumah perlu menjadi amalan.  Begitu juga mengucapkan ‘tolong’ apabila meminta bantuan dan terima kasih setelah diberi bantuan.

Ajari anak untuk membaca basmallah ketika hendak makan dan mulakan dengan tangan kanan dan ucapkan ‘Alhamdulillah’ setelah selesai makan.  Ia juga untuk mendidik diri anak bersabar ketika mengadap rezeki dan bersyukur kerana dikurniakan makanan.  Duduk ketika makan, basuh tangan dan membersihkan pinggan dan tempat makan selepas selesai makan.

Budayakan budi pekerti mulia, jana takwa kepada Allah SWT

Anda juga hendaklah mengajar anak supaya sentiasa memberi kepada kawan-kawan yang memerlukan. Inilah akhlak yang perlu diajar di rumah iaitu budi pekerti, perangai, tingkah laku dan tabiat.  Apabila anak-anak telah membudayakan budi pekerti yang mulia dalam diri, ia akan menjana ketakwaan kepada Allah SWT.

Anak-anak juga akan cintakan kepada Nabi Muhammad SAW melalui ilmu yang dituntut secara berterusan.  Jiwa yang subur dengan ilmu akan berusaha mencari reda Allah SWT dan sentiasa berwaspada dengan azab serta hukuman perbuatan buruk terhadap Allah dan makhluk lain.

Islam adalah agama yang mudah tetapi jangan dipermudahkan.  Islam mengajar kita untuk mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna melalui pendidikan akhlak.  Tiga bentuk jiwa manusia yang digunakan dalam pendidikan akhlak.  Pertama Nabatiyah atau jiwa tumbuhan, kedua Haiwani (jiwa kehaiwanan) dan ketiga Akli (jiwa roh).

Jiwa tumbuhan bererti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup seperti sifat manusia.  Sifat kehaiwanan pula mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat serta sifat takut dan jiwa roh ialah qalbu atau hati.  Bahagian inilah perlu diberi perhatian khusus dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat terpuji.

Anak adalah cerminan kepada akhlak ibu bapa.  Baik akhlak kita, maka baiklah akhlak anak-anak.