Akademi swasta bola sepak lesap selepas terima bayaran

Adea Ghafar 27-Jan-2020
Akademi bola sepak swasta
© Koonsiri Boonnak | Dreamstime.com

Penubuhan akademi-akademi bola sepak swasta kini wujud dengan banyak di Malaysia. Tujuan kesemuanya diwujudkan sudah pasti untuk mencungkil bakat di peringkat akar umbi, namun wujud kebimbangan dan keraguan sama ada perkara ini benar-benar menyumbang kepada pembangunan bola sepak, seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau hanya sekadar mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan.

Walaupun kebanyakan daripada akademi-akademi ini ditubuhkan secara rasmi, terdapat sebahagian yang tidak berdaftar. Akademi haram sebegini boleh hilang pada bila-bila masa  sahaja. Antara masalah yang berlaku adalah tidak memberikan latihan sebenar dengan betul. Terdapat juga akademi yang mengimport pemain untuk bermain dalam kejohanan hanya untuk menjuarainya dan menafikan para pemain asal akademi. Perkara-perkara buruk sebegini dilakukan hanya untuk mengaut keuntungan tanpa menghiraukan bakat pemain sebenar mereka yang biasanya dalam kategori umur 8, 10, 12, 15 dan 18 tahun, dan membayar dari RM100 ke RM200 sebulan.

Menurut Bakri Ibni, Presiden Kelab Bolasepak Tunas Legenda (KBTL), terdapat ramai ibu bapa pemain yang datang menyertai KBTL setelah serik diperdaya oleh akademi haram terbabit. Mereka mengadu ditipu oleh akademi haram yang tidak menjalankan aktiviti bola sepak seperti dijanji dan kemudian hilang selepas menerima pembayaran. Jumlah yang dibayar adalah sehingga beratus-ratus sebulan bagi setiap pelatih, dan ada juga pelatih yang tidak dapat bermain kerana diganti pemain luar. Ini mengakibatkan objektif para pelatih sebenar yang mahu mengembangkan bakat mereka menjadi terbantut.

Terdapat juga akademi yang menganjurkan pertandingan dan kemudian hilang begitu sahaja tanpa membayar wang kemenangan kepada para pemenang. Bakri berkata, KBTL pernah terkena apabila menjadi juara pertandingan dan memenangi RM5,000 tetapi penganjur kemudiannya lari entah ke mana. Penganjur yang juga akademi bola sepak haram sebeginilah yang memanipulasi kelemahan sistem pembangunan bola sepak Malaysia. Adalah diharap, pemantauan dapat dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam memastikan akademi-akademi bola sepak terdaftar secara sah bagi mengelakkan isu-isu sebegini daripada berterusan.