Akhlak kita sebagai seorang isteri Muslim

Sahsiah Hagnas 16-Sep-2020
dreamstime_s_92427383
Akhlak isteri © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Perkahwinan merupakan satu institusi kekeluargaan yang dipandang mulia dari kaca mata Islam. Terdapat beberapa hukum dan panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT dan sangat bermanfaat buat pasangan Muslim. Perkahwinan akan dipenuhi keberkatan andainya panduan ini sentiasa dipatuhi. Artikel ini akan menerangkan dengan lebih jelas bagaimana hubungan dua hala ini patut dilaksanakan.

Sebagai seorang isteri, hormatilah pasangan kita sebagai seorang Muslim yang selayaknya kita hormati. Apabila wujudnya hormat dalam rumah tangga, keamanan juga akan wujud. Cinta juga takkan ada andainya hormat tiada. Berinteraksilah dengan penuh hormat dan bantulah suami untuk menjadi Muslim yang lebih baik.

Rasulullah SAW ada menyifatkan isteri yang baik ini dalam hadis yang menyentuh antara lain mengenai sebaik-baik kurniaan buat seorang lelaki ialah lidah yang mengingati Allah SWT, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri yang membantu dalam meningkatkan keimanan. Sebagai seorang isteri yang beragama Islam, maka tanggungjawab utama kita adalah membantunya dalam perkara-perkara agama.

Jika suami tidak melaksanakan tugasnya sebagai Muslim, galakkan dan sokonglah dia dalam perjalanan menuju Allah SWT ini. Isteri hendaklah berbuat baik, penuh kasih sayang dalam ucapan mahupun tindakan apabila berinteraksi dengan suaminya. Suami kita adalah manusia dan setiap manusia semestinya ada waktu iman tinggi, ada waktu imannya lemah dan dia akan melakukan kesalahan. Janganlah marah-marah, cubalah bantu suami, dan teruslah memberi semangat kepadanya.

Wanita diciptakan sangat berbeza berbanding lelaki. Kerap kali kita dapati sudut pandang dan cara berfikir juga berbeza. Kita hendaklah cuba bersabar dan bertolak ansur seperti mana terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menceritakan kelebihan sabar. Cubalah praktikkan dalam kehidupan rumah tangga dan kita akan memperolehi banyak manfaat dari sifat ini.

Cara lain dalam berinteraksi dengan suami adalah dengan menjadi penyokong dan pendokongnya. Kita juga mahukan suami yang bersedia mempertahankan kehormatan, reputasi dan maruah kita sewaktu kita ada bersamanya ataupun tidak. Kita juga perlulah melakukan perkara yang sama sebagai isterinya. Kita hendaklah mempertahankan dan memelihara maruahnya walaupun dia tiada.

Kawallah diri kita daripada bersifat agresif dan menghina. Ini sangat penting dalam rumah tangga kerana pelbagai cabaran bakal dihadapi dan agak sukar untuk mengatasinya tanpa hati yang penuh cinta dan kasih sayang.

Moga Allah SWT mengurniakan barakah buat pasangan-pasangan Muslim dalam perkahwinan mereka. Aamin.