Akhlak mulia asas pembentukan jati diri

Akhlak mulia asas jati diri © Akulamatiau | Dreamstime.com

Akhlak adalah asas kepada pembentukan jati diri sesebuah masyarakat.  Ia merangkumi budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat dalaman yang menggambarkan kebaikan atau keburukan kita.  Ia juga mempunyai kaitan langsung dengan keimanan seseorang.

Fitrah kejadian manusia adalah baik sebagai khalifah di muka bumi ini. Namun dalam menjalani kehidupan yang mencabar serta desakan dan tekanan,  ada yang sanggup mengorbankan keluhuran akhlak dan rohani demi   kesenangan mudah.  Tidak kurang juga yang melihat hukum, nilai dan norma keagamaan sebagai penghalang kemajuan.

Usaha memupuk nilai baik di tengah budaya materialisme dan hedonisme ini sudah tentu bukan perkara mudah.  Persoalan yang sama telah berlaku sejak bermulanya tamadun dalam kalangan umat manusia.

Ibnu Khaldun r.a mengatakan bahawa turun naiknya sesebuah negara dan tamadun, banyak bergantung kepada sejauhmana umat itu berpegang  kepada nilai-nilai yang tinggi.

Hujah ini turut disokong oleh penyair Arab bernama Ahmad Shauqi yang berkata:  “Sesungguhnya sesebuah masyarakat itu akan ada selagi ada akhlaknya.  Sekiranya akhlaknya tiada, masyarakat akan lenyap.”

Rasulullah SAW diutus untuk menyempurna serta menyampaikan akhlak serta budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia.   Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.”  (Hadis riwayat al-Hakim)

Kehadiran Nabi Muhammad SAW menyampaikan agama Islam dan mengeluarkan manusia daripada kesesatan adalah anugerah Allah SWT yang cukup besar.  Ia juga demi untuk membentuk sebuah agama yang mempunyai umat berakhlak mulia.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-quran yang bermaksud:  “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”  (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Baginda SAW tidak akan membalas perbuatan buruk orang terhadapnya kerana bersifat pemaaf.  Namun, sekiranya perbuatan itu adalah berkaitan dengan hukum agama Islam, baginda akan lebih tegas dan marah sekiranya tidak mentaati perintah Allah SWT.

Berbanding Barat yang mentafsir akhlak sebagai etika, capaian dari sudut Islam itu adalah lebih luas.  Ia mencakupi prinsip akhlak dengan Pencipta dan akhlak sesama manusia.

Akhlak baik yang dipamerkan dalam kehidupan sehari-hari adalah refleksi   ketakwaan kita kepada Allah SWT.  Ia sekali gus akan mewujudkan suasana aman dan memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki potensi diri serta menambah produktiviti.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 21)

Akhlak terhadap manusia pula ialah belas kasihan, kasih sayang, selalu ingin berbuat baik dan menyantuni orang lain.  Menahan amarah, sopan santun dan senang memaafkan.  Sebaliknya akhlak buruk ialah yang berlawanan dengan akhlak baik.

Bagi menghidupkan akhlak Islam dalam masyarakat, kita perlu bersahabat dengan orang yang berperibadi mulia, meneliti perjalanan hidup para nabi, ulama dan pahlawan Islam dan memberi tumpuan kepada pekerjaan baik seperti mendalami ilmu, meningkatkan ekonomi, politik dan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat. Ia dapat dilakukan dengan meluaskan pemikiran kerana pemikiran sempit adalah faktor kepada perbuatan jahat, kita perlu mencari punca-puncanya dan mengubatinya.

Semoga kita dari kalangan mereka yang bersifat mahmudah.