Akikah untuk bayi baru lahir

Agama Hanita Hassan 03-Sep-2020
dreamstime_s_62520384
Akikah untuk bayi baru lahir © Susan Sheldon | Dreamstime.com

Akikah ertinya penyembelihan haiwan ternakan untuk anak yang baharu lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. Ia juga untuk memutuskan hubungan yang membawa maksud bayi dilahirkan masih tergantung dalam gadaian Allah.  Bagi melepaskan bayi daripada gadaian, sebagai ibu bapa kita hendaklah melaksanakan akikah iaitu menyembelih kambing sama ada pada hari ketujuh, ke-14 atau hari ke-21 kelahiran bayi.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:  “Tiap-tiap anak itu tertebus dengan akikahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Pada hari yang sama juga, bayi akan diberikan nama dan dicukur kepalanya. Amalan ini pada pandangan ulama adalah sunat yang dituntut atau sunat muakad.  Bagi anak lelaki, disembelih dua ekor kambing atau dua bahagian daripada lembu.  Manakala anak perempuan, seekor kambing atau satu bahagian daripada lembu. Akikah dilakukan ketika anak masih kecil sehingga sebelum bayi mencecah umur dua tahun.

Sabda Nabi Muhammad SAW kepada Fatimah r.a ketika mengakikahkan Hasan r.a: “Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang miskin seberat timbangan (rambutnya).  Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham.”

Daging haiwan yang disembelih disunatkan supaya tulangnya tidak dipatahkan dan dagingnya dimasak manis kerana mempunyai hikmah tersendiri. Amalan akikah sebagai bukti ketaatan kita sebagai ibu bapa yang sanggup berkorban masa dan wang demi mentaati Allah SWT dan mendekatkan diri anak dengan-Nya.  Ia juga sebagai tanda syukur atas  nikmat  dikurniakan zuriat.

Korban pula ertinya hampir sama maksud dan tujuannya iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  Ia dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim a.s dan seterusnya Nabi Muhammad SAW.  Korban juga hukumnya sunat muakad.  Ia boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.  Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada  kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj, ayat 36)

Apabila kita hendak melakukan ibadat korban, kita perlu memilih haiwan yang paling kita sayang atau paling baik.  Begitulah juga kepatuhan Nabi Ibrahim a.s yang menurut arahan Allah SWT menyembelih anakandanya Nabi Ismail a.s. Sedangkan itulah anak yang paling disayangi.

Namun, disebabkan arahan Allah SWT, maka Nabi Ibrahim a.s dengan reda melakukan pengorbanan agung itu.  Baginda bukan sahaja berkorban menyembelih anaknya tetapi pengorbanan yang paling besar ialah perasaan kasih dan sayang Nabi Ibrahim terhadap Nabi Ismail a.s semata-mata kerana Allah. Akhirnya, sembelihan Nabi Ibrahim ditukar dengan seekor kibas.

Daging korban diberikan kepada penerima fakir dan miskin dalam keadaan mentah manakala daging akikah lebih afdal diberikan kepada orang miskin atau orang kaya dalam keadaan sudah bermasak.  Cara pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri sendiri, sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga lagi untuk orang yang mampu.