Akta air dipinda – tingkat kuatkuasa pencemaran sumber air

Kehidupan Adea Ghafar 28-Jan-2020
Sungai Klang
Sungai Klang © Digikhmer | Dreamstime.com

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A Xavier Jayakumar berkata, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dipinda untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mencegah kejadian pencemaran sumber air. Pindaan ini dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan.

Akta 655 akan dipinda untuk mengukuhkan aspek penguatkuasaan termasuk menahan pesalah dan menyita kenderaan yang disyaki mencemarkan kumbahan, demikian persetujuan Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air dalam mesyuarat pertamanya di Putrajaya hari ini.

Dr. Xavier berucap di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa yang ditubuhkan susulan insiden pencemaran sumber air melibatkan Sungai Selangor pada tahun lepas. Jawatankuasa ini juga mahukan denda yang lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan membuang sampah dan sebagainya ke lurang kumbahan.

Jawatankuasa ini berperanan untuk menyelaras kerjasama bersepadu antara agensi apabila melaksanakan penguatkuasaan dalam bidang kuasa masing-masing. Ia dianggotai oleh wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Polis Diraja Malaysia; Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta wakil-wakil daripada beberapa negeri lain.

Menurut Dr. Xavier, kementeriannya juga sedang berusaha mengumpulkan data dari syarikat-syarikat industri untuk membendung insiden pencemaran air di Selangor. Seterusnya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah diarahkan untuk mengumpul data mengenai jenis-jenis  perusahaan dan sisa buangan perusahaan. Melalui data itu, tindakan segera boleh diambil dengan sewajarnya jika berlaku pencemaran di loji IWK.