Al-Hafiz Ibnu Kathir, mufasir Al-Quran terulung

Dunia Hanita Hassan 23-Jun-2020
Madrasah lama Ibnu Kathir di Bosra, Syria © islamiclandmarks.com

Imam Ibnu Kathir r.a. adalah ulama dan cendekiawan Islam yang mahir dalam pelbagai bidang khususnya bidang al-Quran.  Seorang kadi yang terkenal, pakar sejarah, seorang muhadith dan mufasir (pentafsir) serta penulis yang prolifik.

Ibnu Kathir digelar dengan panggilan Abu al-Fida.  Nama penuh beliau ialah Ismail bin Umar bin Kathir.  Kathir diambil daripada nama datuknya.  Lahir pada tahun 702 Hijrah (1301-1373 M) di Damsyik, Syria.  Ayahnya meninggal dunia empat tahun selepas kelahirannya. Membesar sebagai anak yatim di kota Damsyik dan menuntut ilmu di situ.

Seorang ulama hadis faqih yang mahir dan terkenal dalam kalangan mazhab Syafie.  Beliau digelar al-hafiz, iaitu ulama hadis yang boleh menghafal beribu-ribu hadis Nabi Muhammad SAW dan sejarawan Islam. Prolifik menghasilkan beberapa kitab penting yang menjadi rujukan di seluruh dunia Islam dan dalam kalangan Muslim di Barat.

Kitab karangan beliau yang mahsyur berjudul Tafsir al-Quran al-Azim.  Kitab ini ditulis dengan mengaitkan Hadis Nabi Muhammad SAW serta para Sahabat RA kepada al-Quran dalam penjelasan tafsirnya.  Kitab al-Quran ini lengkap dan terbaik dalam pentafsiran al-Quran.

Antara kitab lain yang turut dikarang beliau ialah Al-Bidayah wa-Nihaya (Tarikh Ibn Kathir), Al-Sira Al-Nabawiyya (Ibn Kathir), Al-Baa’ith al-Hatheeth : pemendekan Muqaddimah oleh Ibnu al-Salah dalam peristilahan Hadis, Tabaqaat ah-Shafi’iah (Kelas-kelas Pengikut Imam Syafii), Talkhis al-Istighatha dan Kisah-kisah Nabi.

Ibnu Kathir juga menulis buku berjudul At-Takmeel Ma’rifati Ath-Thiqat Wal-Majaheel.  Karya ini lengkap tentang kritikan dan pujian serta pengetahuan tentang perawi yang boleh dipercayai serta perawi yang tidak diketahui.   Beliau turut menulis buku Jami’ Al-Masaneed Was-Sunan Al-Hadi Li-Aqwam Sunan (Gabungan musnad-musnad  dan sunan-sunan yang memandu kepada Sunan terbaik). Karya beliau turut diterjemah dalam pelbagai bahasa dunia.

Seorang murid yang hebat lahir daripada guru-guru yang hebat.  Ibnu Kathir mendalami ilmu al-Quran, hadis dan sejarah dengan beberapa tokoh hebat.  Antara guru beliau ialah Imam Az Zahabi, Imam al-hafiz al-Mizzi yang kemudian menjadi bapa mertuanya, dan juga Ibnu Taimiyah.

Hidup pada zaman Mamalik (Mamluk), kurun ke-8 iaitu 700 Hijrah ke atas.  Zaman Mamalik dikatakan zaman yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Musibah demi musibah bertimpa-timpa ke atas umat Islam.

Ketika itu juga sering berlaku kemarau dan ramai yang kelaparan. Bahkan keadaan politik dalam kalangan pemimpin Islam juga tidak menentu. Berlaku pergolakan dan persengketaan sehingga peperangan dan pembunuhan sesama mereka berleluasa.

Serangan tentera Tatar (Mongolia) ke atas Kota Damsyik menyebabkan ribuan umat Islam dibunuh.  Dikatakan sungai-sungai di Damsyik dipenuhi dengan warna hitam kemerahan kerana kelunturan dakwat daripada buku-buku yang bercampur dengan darah mangsa akibat pembunuhan beramai-ramai.

Walau bagaimanapun, dari sudut percambahan ilmu, ia berlaku dengan pesatnya.  Kuliah ilmu dan tempat-tempat pengajian wujud seiring dengan kewujudan tokoh-tokoh ulama besar ketika itu. Para ilmuan, penyelidik dan penulis berjaya menghasilkan banyak manuskrip dan buku-buku ilmiah.

Buku mengenai teknologi penghasilan kertas yang diperolehi daripada empayar China melalui Perang Sungai Talas turut dihasilkan.  Teknologi ini membolehkan masyarakat pandai membaca, menulis dan menjadi lebih berilmu.

Pada akhir hayatnya, Ibnu Kathir telah buta matanya.  Meninggal dunia pada 774 Hijrah bersamaan Februari 1773 Masihi di Damsyik, Syria.