Al-Khawarizmi – cendekiawan matematik Muslim

Tugu peringatan Al-Khawarizmi di Itchan Kala, Khiva, Uzbekistan © Antonella865 | Dreamstime.com

Matematik adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji kuantiti, struktur ruang dan perubahan. Matematik digunakan di seluruh dunia sebagai alat penting dalam pelbagai bidang, termasuklah sains semula jadi, kejuruteraan, perubatan dan sains sosial.

Cendekiawan Islam memainkan peranan penting sebagai peneraju bidang matematik di seluruh dunia. Hasil ciptaan dan penemuan cedekiawan Islam dalam bidang ini berjaya membuatkan ia terus berkembang. Apabila penciptaan matematik berinteraksi dengan penemuan saintifik yang baru, peningkatan yang sangat besar berlaku dalam ilmu matematik yang kekal berterusan sehingga hari ini.

Salah seorang cendekiawan Islam yang terkenal dengan sumbangan yang besar dalam bidang matematik ialah Al-Khawarizmi (Al-Khwarizmi). Nama sebenar beliau ialah Muhammad Ibn Musa Al-Khwarizmi. Beliau juga turut dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad. Di negara barat beliau lebih dikenali sebagai Al-Cowarizmi atau Al-Gorithmi.

Berasal dari Khwarazm, satu wilayah oasis kuno semasa abad pertengahan di Asia Tengah (sekarang di Khiva, Uzbekistan), sumbangan besar Khawarizmi dalam bidang matematik ialah memperkenalkan sistem nombor dan juga Algebra. Ilmu algebra sangat penting buat umat Islam terutamanya dalam bidang berkaitan syariah seperti faraid, perniagaan, pembahagian tanah dan sebagainya.

Beliau juga turut menghasilkan beberapa karya popular yang turut dijadikan asas pembelajaran dan rujukan bidang matematik di negara-negara barat. Antara karya-karya terkenal beliau ialah:

  • Sistem Nombor – Karya ini telah diterjemahkan dalam bahasa latin sebagai De Numero Indorum
  • Al-Maqala Fi Hisab Al-Jabr wa al-Muqabilah – Nama Algebra telah diinspirasikan daripada karya ini

Selain bidang matematik, Al-Khawarizmi turut dikenali dalam bidang astronomi. Malah, turut dikatakan bahawa beliau adalah orang pertama yang telah mencipta peta dunia. Walaupun begitu, Al-Khawarizmi lebih dikenali di dalam bidang matematik.

Beliau telah memperkenalkan banyak kaedah dalam karya-karya matematik yang dihasilkan. Kaedah-kaedah ini pula diterangkan dengan agak terperinci. Antaranya ialah konsep sin, kos dan tan dalam trigonometri. Masalah pecahan dan teori sistem nombor turut diperkenalkan.

Hasil penemuan dan sumbangan Al-Khawarizmi ternyata membuka lembaran baru bagi bidang matematik dan pelbagai bidang lain lagi. Ketokohan ilmu Al-Khawarizmi seharusnya menjadi teladan bagi masyarakat Muslim dalam mempelajari ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri, juga kepada dunia secara keseluruhan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!