‘Al-Qanun Fi at-Tibb’, kitab Ibnu Sina rujukan universiti Eropah selama 500 tahun

Pendidikan Md Wa'iz
Md Wa'iz
‘Al-Qanun Fi at-Tibb’, kitab Ibnu Sina rujukan universiti Eropah selama 500 tahun
‘Al-Qanun Fi at-Tibb’, kitab Ibnu Sina rujukan universiti Eropah selama 500 tahun © christies.com

Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar nama ilmuwan Islam, Ibnu Sina. Dalam banyak kitab atau buku yang dikarangnya, ‘Al-Qanun Fi at-Tibb’ adalah kitab Ibnu Sina yang paling terkenal.

Hebatnya kitab ini sehingga ia dijadikan kitab rujukan selama 500 tahun di Eropah. Apa lagi yang menarik mengenai kitab ini?

Maklumat ringkas mengenai Ibnu Sina

Ibnu Sina juga dikenali dengan nama Abu Ali Sina atau Pur Sina. Di negara barat, ia lebih dikenali sebagai Avicenna. Beliau dilahirkan di Bukhara yang kini merupakan antara wilayah di negara Uzbekistan.

Selain memiliki kepakaran dalam bidang perubatan, beliau juga adalah seorang ilmuwan dalam bidang astronomi dan seorang pemikir serta penulis. Beliau digelar sebagai bapa perubatan moden.

Beliau dipercayai telah menulis sekitar 450 buah buku namun hanya 240 buah buku sahaja yang masih ada sehingga ke hari ini. 40 buah daripadanya adalah dalam bidang perubatan.

‘Al-Qanun Fi at-Tibb’, kitab terulung rujukan universiti Eropah

Antara kitab Ibnu Sina yang paling dikenali di seluruh dunia ialah ‘Al-Qanun Fi at-Tibb’. Di negara barat, ia dikenali dengan nama ‘The Canon of Medicine’ atau ‘The Canon’.

Buku ini adalah sebuah buku ensiklopedia perubatan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada akhir abad ke-12 Masihi. Ia telah ditulis dalam bahasa Arab sebanyak lima jilid.

Kitab ‘Qanun Fi at-Tibb’ telah ditulis oleh beliau dengan memasukkan cabang ilmu sains perubatan yang lebih inklusif dan terperinci. Kitab ini telah dijadikan sebagai rujukan utama dalam bidang pengajian perubatan di universiti-universiti Eropah selama lebih 500 tahun.

Isi kandungan kitab ‘Qanun Fi at-Tibb’ mengikut jilid

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Ibnu Sina telah menulis kitab perubatan ini dalam lima jilid. Setiap jilid itu dikhususkan kepada kategori-kategori tertentu sahaja.

Berikut adalah penerangan ringkas kitab tersebut mengikut jilid yang lima:

  • 1 mengandungi penerangan berkaitan prinsip asas perubatan, anatomi, rejimen rawatan serta prosedur terapeutik
  • 2 mengandungi senarai bahan-bahan yang digunakan dalam perubatan dan disusun mengikut abjad
  • 3 mengandungi cara mendiagnosis serta kaedah rawatan bagi sesuatu penyakit yang khusus kepada bahagian tubuh tertentu
  • 4 mengandungi cara mendiagnosis dan kaedah rawatan bagi penyakit yang melibatkan beberapa bahagian tubuh
  • 5 mengandungi formula bagi penghasilan ubat-ubatan

Keunikan kitab Ibnu Sina, ‘Qanun Fi at-Tibb’

Apa yang telah ditulis atau dikarang oleh Ibnu Sina dalam kitab ini adalah sangat jelas dan terperinci daripada kitab-kitab sebelumnya. Sebagai contoh, dalam pengelasan penyakit berkaitan buah pinggang dan pundi kencing.

Penyakit-penyakit buah pinggang dan pundi kencing dapat dikenal pasti dengan pengelasan yang sistematik yang telah disusun oleh Ibnu Sina.

Malah, beliau juga adalah orang pertama yang menyatakan bahawa keadaan hematuria juga boleh berlaku disebabkan punca di luar sistem perkumuhan. Hematuria adalah keadaan di mana terdapatnya darah dalam air kencing manusia.

Lambang zaman kegemilangan Islam

Kitab Ibnu Sina seperti ‘Qanun Fi at-Tibb’ ini adalah antara hasil daripada zaman keilmuan Islam sewaktu zaman keemasan Islam berada di kemuncaknya.

Kitab ini juga melambangkan ketinggian peradaban Islam dalam penguasaan ilmu perubatan serta ilmu-ilmu lain. Semoga Allah Taala memberkati segala usaha Ibnu Sina dalam keilmuan yang menambah baik kesejahteraan hidup manusia.