Al-Quran di hati semua

Agama Hagnas 04-Sep-2020
dreamstime_s_89963609

Banyak kajian yang telah dilakukan menyatakan bahawa kata-kata yang kita ucapkan sangat memberikan pengaruh, baik mahupun buruk, kepada kita yang menuturkan mahupun orang lain yang mendengarkan. Jika tidak berhati-hati, kata-kata yang kita ucapkan boleh mengakibatkan kesan-kesan yang begitu besar kepada kita dan orang yang kita sayangi tanpa kita sedari.

Berapa ramai pasangan suami isteri telah berkelahi dan bercerai hanya kerana beberapa patah kata yang terkeluar dari mulut salah seorang dari mereka. Justeru Biasakan diri kita dan juga ahli keluarga kita untuk menuturkan kata-kata atau kalam yang baik lagi indah.

Apakah ada kata-kata yang lebih baik, benar lagi indah berbanding al-Quran? Tentunya tiada kerana jelas terbukti bahawa keindahan ayat-ayat al-Quran yang dibaca, difahami dan diamalkan sejak diturunkan pada zaman Nabi Muhammad SAW telah menyentuh hati sekian ramai manusia hingga akhirnya mereka menerima hidayah dari Allah SWT dan kembali kepada agama Islam yang suci.

Saidina Umar Al-Khattab r.a, seorang tokoh di Mekah yang dikenali kepakarannya dalam sastera bahasa Arab, telah akhirnya memeluk Islam setelah mendengar dan menghayati ayat-ayat al-Quran yang indah dari Surah Toha. Sebagai seorang pakar dalam sastera bahasa Arab, beliau tentunya benar-benar faham dan kenal keindahan laras bahasa Arab dalam ayat-ayat al-Quran yang didengarinya itu sehingga menyentuh jiwanya yang teguh itu lalu memeluk Islam.

Justeru para pembaca yang dihormati lagi budiman, marilah sama-sama kita berusaha untuk memelihara, mempelajari dan mendisiplinkan diri kita dalam membaca, memahami dan beramal dengan ayat-ayat al-Quran ini sepanjang hayat kita. Al-Quran bukan hanya terkenal dengan keindahan bahasa Arabnya, malah ketinggian dan kemuliaan mesej yang disampaikan dengan penuh indah.

Banyak kisah-kisah benar mengenai para Nabi dan Rasul terdahulu yang wajar kita pelajari, hayati lalu mengambil pelajaran darinya untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Inilah panduan kejayaan kita sebagai umat Islam di dunia mahupun di akhirat kelak. Penuhkanlah ayat-ayat al-Quran dalam dada kita sehingga terubat atau sembuh, dengan kesan ayat-ayat Al-Quran itu, segala perasaan-perasaan pahit atau negatif dalam diri kita.

Walaupun mungkin kita tidak menghafal keseluruhan al-Quran, ini bukanlah penghalang untuk kita dan keluarga kita membaca dan menghayati al-Quran setiap hari. Setiap usaha, pengorbanan dan keikhlasan kita dalam mendekati dan berinteraksi dengan al-Quran tentunya akan dilihat dengan penuh rahmah oleh Allah SWT.