Al-Quran: keistimewaan surah al-Kauthar

Al-Quran Zalika Adam 13-Nov-2020
dreamstime_s_115868552
Al-Quran: keistimewaan surah al-Kauthar © Muhamad Edy Abdul Kasim | Dreamstime.com

Al-Kauthar ini adalah sebuah sumber air telaga atau sungai di Syurga yang diberi oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi ada golongan yang dihalang dari meminum airnya. Siapakah mereka? Surah al-Kauthar menjelaskan tentang perkara ini.

Di dalam al-Quran, surah al-Kauthar adalah surah yang ke 108. Ia bermaksud ‘Kebaikan’ atau ‘Membawa nikmat yang banyak’. Surah ini hanya mengandungi tiga ayat sahaja dan diturunkan di Makkah dengan membawa pengertian tentang sungai di Syurga.

Surah penghibur hati Nabi Muhammad SAW

Menurut para ulama yang mentafsir surah ini, sungai di Syurga bererti sebuah kolam sungai yang diperbuat daripada batu permata yang begitu indah dan cantik. Manakala rasanya pula lebih manis daripada madu, warnanya lebih putih daripada susu dan baunya lebih wangi daripada kasturi.

Dinamakan al-Kauthar kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi Muhammad SAW kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Surah ini disifatkan juga sebagai surah penghibur hati Rasulullah kerana ketika itu Baginda bersedih atas kematian dua orang yang dikasihi, iaitu anak lelakinya Ibrahim r.a dan bapa saudaranya Abu Talib r.a.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis, Anas bin Malik ra menceritakan, “Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba Baginda mengantuk sekejap. Kemudian Baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya: Apa yang membuat tuan tersenyum, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah. Lalu Baginda membacanya.”

Surah al-Kauthar, 108: 1-3

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kauthar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).”

(Surah al-Kauthar, 108: 1-3)

Kemudian Rasulullah SAW berkata:

“Apakah kalian tahu apakah al-Kauthar itu?” Kami (para sahabat) menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya al-Kauthar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabb-ku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sayid Qutub berkata: “Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat ikhlas dan menetapkan dalam hati Baginda agar beramal ibadah kepada Allah, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kaum Musyrikin.”

Oleh itu, setiap amalan yang kita lakukan hendaklah dipenuhi dengan keikhlasan, yang natijahnya mendapat pahala berlipat ganda dari Allah SWT.