Al-Quran mukjizat agung

Agama Hanita Hassan 29-Apr-2020
Al-Quran yang mulia © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Ramadan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan.  Kitab suci  al-Quran mengandungi 114 surah dan 30 juzuk.  Petunjuk umat dan mukjizat Nabi Muhammad SAW ini diturunkan pada bulan Ramadan dan menjadi panduan umat Islam di seluruh dunia.  Ia diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.  Ia dinamakan mukjizat teragung kerana kehebatannya.

Tidak ada sesiapa pun sama ada dalam kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud :  “Dan jika kamu berasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu orang yang benar.”  (Surah Al Baqarah: 23)

Kita dituntut untuk sentiasa membaca, mempelajari, mengkaji dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.  Al-Quran adalah untuk semua manusia.  Kita digalak mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam. Nabi SAW menyifatkan golongan yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran  sebagai sebaik-baik manusia. Inilah wadah dakwah yang sebaik-baiknya.

Daripada Usman bin Affan r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (hadis riwayat Al-Bukhari)

Al Quran adalah sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup umat Islam di dunia dan di akhirat. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat al-Quran sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya akan diberikan pahala.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang Alif Lam Mim itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR At-Tirmidzi)

Setiap kali Ramadan kita berusaha melengkapkan bacaan al-Quran.  Ramadan adalah bulan yang dapat melatih jiwa melakukan suruhan Allah SWT walaupun dalam keadaan sukar, serta meninggalkan larangannya.

Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurnia kepada Nabi Muhammad SAW.  Kita masih  belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga ke hari ini. Kehebatan dan kesaktian, keagungan serta keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang begitu luas dan mendalam kekal terpelihara hingga ke hari kiamat.

Dari Imam Malik r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi.” (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah)

Al-Quran adalah petunjuk jalan kebenaran yang membawa umat Islam daripada kegelapan kepada cahaya terang.  Ramadan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan membaca al-Quran, sama ada secara bertadarus ataupun berseorangan, lebih-lebih lagi sehingga menamatkan (khatam) bacaan 30 juz al-Quran.  Sesungguhnya, orang yang membaca al-Quran akan mendapat rahmat dan limpah kurnia dari Allah SWT.