Al-Quran mushaf Usmani dan usaha Khalifah Usman bin Affan r.a

Al-Quran Md Wa'iz 13-Okt-2020
dreamstime_s_15409447
Al-Quran mushaf Usmani dan usaha Khalifah Usman bin Affan r.a © A. Bader | Dreamstime.com

Pada awal penurunan wahyu, ayat-ayat al-Quran hanya dihafal atau ditulis pada lembaran-lembaran kulit kambing atau pelepah kurma. Namun, selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW, wujud usaha oleh khalifah Islam pada ketika itu untuk mula membukukan al-Quran.

Kerja-kerja pengumpulan dan pembukuan ini dilakukan dalam dua fasa penting iaitu pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a dan Khalifah Usman bin Affan r.a. Apakah yang menyebabkan usaha ini dijalankan?

70 penghafal al-Quran syahid dalam peperangan

Perkara yang memicu tindakan Khalifah Abu Bakar dalam usaha pertamanya mengumpulkan al-Quran adalah disebabkan kematian ramai penghafal al-Quran. Dalam peperangan Yamamah, seramai 70 orang penghafal al-Quran telah syahid sehingga membimbangkan khalifah pada ketika itu.

Khalifah Abu Bakar r.a kemudiannya mengarahkan seorang sahabat nabi, iaitu Zaid Bin Tsabit r.a untuk mengumpulkan kesemua lembaran dan hafalan al-Quran dan menjadikannya satu mushaf lengkap. Tujuan utama pengumpulan pada fasa ini adalah untuk memastikan bahawa al-Quran tidak hilang dan dijadikan rujukan utama.

Selepas Khalifah Abu Bakar r.a meninggal dunia, mushaf utama ini kemudiannya diberikan kepada Khalifah Umar Al-Khattab r.a untuk dijaga. Ia kemudiannya berpindah tangan kepada anaknya, Hafsah r.a yang juga merupakan isteri baginda Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran disebarkan ke seluruh wilayah Islam

Semasa pemerintahan khalifah Islam yang ketiga, Khalifah Usman bin Affan r.a, kebanyakan orang Islam di seluruh wilayah Islam masih lagi menghafal al-Quran. Tetapi ia berlaku dengan banyak perbezaan bacaan.

Wujud beberapa kumpulan penghafal al-Quran yang dibentuk berdasarkan bacaan masing-masing. Perkara ini mula membimbangkan para pemimpin pada ketika itu. Ini kerana risau akan wujud perpecahan dalam kalangan ulama al-Quran dan mereka yang mempelajarinya.

Atas nasihat beberapa sahabat, Khalifah Usman bin Affan r.a mula melakukan usaha fasa kedua pengumpulan al-Quran. Tujuannya pada kali tidak sama dengan tujuan fasa pertama. Tujuan pengumpulan al-Quran pada fasa kedua ini adalah untuk mewujudkan satu mushaf al-Quran yang standard.

Khalifah Usman r.a sekali lagi meminta jasa Zaid Bin Tsabit r.a untuk mengetuai usaha tersebut. Ini dilakukan bersama-sama beberapa sahabat lain iaitu Abdullah Bin Zubair r.a, Saad Bin Abi Waqqas r.a dan Abdul Rahman Bin Harith r.a.

Dua peraturan utama pengumpulan Al-Quran fasa kedua

Bagi memastikan Al-Quran yang akan dikumpulkan kembali nanti boleh dijadikan satu mushaf standard yang diguna pakai oleh semua orang, kumpulan pengumpul al-Quran ini mengikuti dua peraturan utama:

  • Mushaf pertama yang telah dikumpulkan pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a akan dijadikan sebagai rujukan utama. Mana-mana ayat yang tidak dijumpai berada dalam mushaf yang pertama akan dimasukkan ke dalam mushaf yang kedua
  • Setiap ayat mestilah dalam bentuk yang sama, serupa dengan hafalan sekurang-kurangnya dua orang sahabat yang menghafal al-Quran ketika Baginda Nabi masih hidup. Peraturan ini tidak terpakai jika ayat al-Quran tersebut didapatkan daripada seorang sahabat bernama Abu Khuzaymah Al-Ansari r.a. Ini kerana Nabi Muhammad pernah berkata bahawa sebarang kenyataan atau pengakuan daripada Abu Khuzaymah menyamai dua orang sahabat yang lain

Fasa kedua dan terakhir

Usaha pengumpulan yang dilakukan oleh Khalifah Usman bin Affan r.a ini bukan sahaja usaha yang kedua, tetapi juga usaha pengumpulan al-Quran yang terakhir dilakukan dalam sejarah.

Mushaf al-Quran yang kita baca dan gunakan pada harini merupakan hasil daripada usaha pengumpulan tersebut yang kini dikenali dengan nama Mushaf Usmani.