Aladdin Menghibur dan Mengagumkan

Siapa yang tidak tahu akan kisah dongeng terkenal tentang Aladdin dan pelita ajaibnya? Kisah yang sering diceritakan kepada kanak-kanak sejak berkurun lamanya ini bukan sahaja penuh dengan keajaiban tetapi paling penting sarat dengan pengajaran serta teladan.

Pernah diangkat ke layar perak oleh syarikat antarabangsa Disney beberapa dekad lalu dalam versi animasi, kini filem Aladdin dengan jalan cerita yang sama difilemkan sekali lagi. Namun untuk edisi kali ini, ia bukanlah versi kartun yang pernah ditonton ramai satu ketika dahulu, tetapi versi lakonan sebenar yang menampilkan bintang-bintang tersohor masa kini.

Tidak lari daripada alur cerita asal yang dahulu, perjalanan watak Aladdin dalam versi terbaru ini masih menghiburkan dan berjaya mencipta keajaiban detik-detik yang pernah dihasilkan dalam versi animasi.

Diperkuatkan dengan lakonan Will Smith yang memegang teraju sebagai jin, si penghuni pelita ajaib Aladdin, filem ini dijangka bakal menarik minat ramai penonton di seluruh dunia. Malah istimewa kali ini, Aladdin juga dilahirkan dalam versi alihsuara Bahasa Melayu, di mana watak Puteri Jasmine dimainkan oleh penyanyi terkenal Malaysia, Shila Amzah.

 

Shila bukan sahaja berjaya mengalihsuara wataknya dengan baik tetapi juga cemerlang dalam menyanyikan lagu tema filem tersebut ‘A Whole New World’ yang diberi nama ‘Dunia Baru’ dalam Bahasa Melayu di samping teman duetnya Hael Husaini.

Yang pasti filem Aladdin ini memang sangat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga kerana banyak babak yang sangat menghiburkan selain kesan-kesan khas yang digarap bersama untuk mencetus keajaiban jalan ceritanya.

Lebih penting lagi, terdapat pengajaran dan mesej di sebalik kisah dongeng ini yang boleh dijadikan teladan buat semua yang menontonnya.

Aladdin versi Disney ini sudahpun mula ditayangkan di kesemua pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Mei 2019. Jangan lupa juga bahawa filem ini turut mempunyai versi Bahasa Melayu yang dialihsuara dengan penampilan khas Shila Amzah sebagai watak Puteri Jasmine.