Alam sekitar menurut pandangan Islam

Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Hari ini, salah satu topik perbincangan yang hangat di seluruh dunia adalah mengenai alam sekitar.  Kita semua maklum bahawa kesan perubahan iklim telah mempengaruhi serta mengancam kehidupan serta alam sekitar. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Islam amat mementingkan penjagaan alam sekitar.  Kita tidak dianggap muslim  sejati sekiranya mengabaikan penjagaan alam.  Begitu cantiknya Islam, cara hidup yang serba lengkap.

Sejak awal, Islam sentiasa memberi perhatian kepada perlindungan alam sekitar di samping memulihara sumber semula jadi sedia ada.  Islam juga mengajar kita supaya menggunakan sumber semulajadi ini dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan manusia seluruhnya.

Pembaziran adalah salah satu cabaran utama yang sedang dihadapi oleh masyarakat moden.  Hari ini di seluruh dunia, sejumlah besar makanan, air serta sumber lain dibazirkan. Kita bersyukur kerana Islam telah mengajar umatnya agar memastikan pembangunan sentiasa mampan dan mengelakkan pembaziran dalam semua aspek.  Al-Quran telah menerangkan perkara ini dengan jelas, di mana Allah SWT menyerahkan urusan planet ini di bawah penjagaan manusia dan kita bertanggungjawab menjaganya dengan sebaik-baiknya.

Islam mengajar kita agar memulihara bumi ini, menggunakan semua sumber yang ada dengan cara yang sepatutnya supaya nanti kita dapat mengembalikan semula   kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang baik.  Seorang Muslim bukan sahaja mewarisi bumi yang indah ini, malah dapat hidup bersama makhluk lain dengan aman.   Inilah bahagian penting seorang muslim untuk memulihara, menjaga dan menghargai alam sekitar. Islam memerintahkan umatnya supaya menghindari segala bentuk pencemaran atau apa sahaja yang boleh mencemarkan alam.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman mengenai bagaimana hubungan kita dengan alam.  Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap  (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangalah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”  (Surah al-Araf, ayat 31)

Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi ini sesudah Tuhan memperbaikinya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu  orang-orang yang beriman.” (Surah al-Araf, ayat 85)

Begitu juga dalam Surah al-Qasas, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah SWT telah berbuat baik kepadamu,  dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi.  Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”  (Surah al-Qasas, ayat 77)

Ayat di atas jelas membuktikan bahawa Islam menyebut banyak tentang alam sekitar dan ia adalah isu penting bagi orang yang beriman.  Sehingga Rasulullah SAW telah bersabda bahawa walaupun dalam keadaan berperang, kita mesti memulihara alam dan jangan ditebang pokok.

Justeru, tidak hairanlah hari ini umat Islam berusaha melakukan pemuliharaan terhadap alam ini.  Kebanyakan mereka yang berada di barisan hadapan menentang perubahan iklim adalah orang Islam.  Mereka bukan hanya melakukannya demi menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik, tetapi juga untuk menyembah Allah SWT.  Semoga Allah SWT memudahkan semua urusan kita. Aamin.