Alam sekitar: Pulihara terumbu karang

Alam Sekitar 13 Feb 2021 Hanita Hassan
Terkini
Alam sekitar: Pulihara terumbu karang
Alam sekitar: Pulihara terumbu karang © Michal Bednarek | Dreamstime.com

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan spesis marin.  Sejumlah 83% spesies terumbu karang dunia direkodkan terdapat di perairan pulau-pulau yang cantik dan mempesona serta Taman Laut Negara yang telah digazetkan.

Sejumlah 42 pulau di seluruh negara telah diwartakan sebagai taman laut.  Ia membabitkan 13 di perairan Terengganu, sembilan di Pahang, 13 di Johor, empat di Kedah dan tiga di Labuan.

Alam sekitar: Pulihara terumbu karang

Malaysia adalah antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang  terletak di dalam kawasan Segitiga Terumbu Karang (CTI) yang perairannya dikelilingi Laut Andaman, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Penubuhan taman-taman laut bertujuan melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik.

Terumbu karang adalah ekosistem marin yang unik.  Ia bukan sahaja cantik dan berwarna-warni, malahan sangat diperlukan untuk pembiakan hidupan laut.  Terumbu karang dikatakan telah wujud sejak beribu tahun.

Ada juga yang berusia jutaan tahun.  Ia terbina daripada organisma yang sangat kecil saiznya. Terumbu karang memerlukan cahaya matahari untuk menjamin pertumbuhan karang laut dan alga mikroskopik (hidup dalam tisu-tisu polip) yang bersimbiosis.

Anda boleh menjumpai karang laut pada kedalaman kurang daripada 46 meter. Terumbu karang hidup subur pada suhu 20 °C hingga 28 °C.  Ia membesar dengan cepat dalam air jernih dan ditembusi cahaya matahari.

Di Malaysia, empat spesis karang yang sensitif dan perlu dipulihara adalah jenis acropora, montipora, millepora dan porites.  Kerajaan juga telah mewartakan ia sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya tidak pupus.

Bagi anda yang meminati keindahan dunia dasar laut, terumbu karang serta alam semula jadi sekitarnya, taman laut yang terdapat di seluruh negara boleh diletakkan dalam senarai percutian seterusnya.

Tingkatkan usaha menjaga dan memulihara alam

Antara cadangan pulau seperti Pulau Redang atau Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang, Pulau Payar di Kedah, Pulau Tinggi di Johor dan kawasan taman laut Wilayah Persekutuan Labuan.

Tidak dinafikan, spesies marin turut menghadapi ancaman oleh aktiviti yang dilakukan oleh kita sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.  Justeru dunia mula melihat peranan agama sebagai mekanisme kawalan dan konservasi biodiversiti.

Islam bukan sahaja agama yang kaya dengan nilai etika, tetapi juga peraturan hidup berteraskan wahyu.  Agama Islam melarang kita sebagai hamba Allah SWT melakukan kerosakan terhadap alam sekitar termasuklah spesies marin. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan).  Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah Al-A’raf, ayat 56)

Lautan dan sungai adalah antara ciptaan Allah SWT yang sangat unik yang di dalamnya terdapat pelbagai spesies marin yang tidak terjangkau oleh akal.  Namun semua itu akan pupus sekiranya kita tidak menjalankan tanggungjawab sebagai muslim beriman.  Hubungan kita dengan alam sekitar saling memerlukan.  Sekiranya satu musnah, maka sengsaralah pihak yang satu lagi.

Justeru, marilah sama-sama kita meningkatkan usaha menjaga dan memulihara alam, menjaga kebersihan laut dan ekosistem marim, memastikan corak pengurusan kehidupan yang mampan sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan alam untuk diwariskan kepada generasi akan datang.