Alauddin Khalji, penguasa yang menentang Mongol di India

Seluruh Dunia Nur Adibah Ramly 21-Okt-2020
640px-Alauddin’s_Madrasa_(3362834285)
Madrasah Alauddin Khalji di Kompleks Qutb Minar, Mehrauli, Delhi, India © CC BY 2.0, Link

Maharaja Muslim yang memerintah India dengan penuh kebanggaan – beliau adalah Alauddin Khalji, salah seorang penguasa terbaik dalam sejarah silam India. Dilahirkan sebagai Ali Gurshasp, Alauddin Khalji merupakan maharaja paling berkuasa dari Dinasti Khalji yang memerintah Kesultanan Delhi di benua India.

Alauddin adalah seorang pejuang yang tidak pernah takut sejak usia muda. Keupayaannya menggunakan pedang dan bersama kuda adalah sesuatu yang sangat luar biasa. Khalji adalah pentadbir yang tegas, jeneral yang cerdas dan pejuang yang berani.

Beliau telah memerintah hampir seluruh negara India. Sebelumnya, Maharaja Maurya Ashoka adalah satu-satunya Maharaja yang dapat menaklukinya. Selama pemerintahannya, Alauddin berjaya menakluk satu demi satu wilayah. Gelaran Sikander i-Sani (Alexander Kedua) juga merupakan nama gelarannya.

Dinasti Khalji dan gelaran ‘Alauddin’

Jalaluddin Malik Firoz Khilji (Khalji) merupakan Sultan yang pertama memerintah Dinasti Khalji di Delhi. Beliau melantik Alauddin Khalji sebagai ‘Amir Tuzuk.’ Sebaik sahaja dia memikul tanggungjawab tersebut, Alauddin Khalji mula menunjukkan kebolehannya.

Beliau berjaya mengawal rampasan kuasa keluarga pada tahun 1291. Oleh itu, Sultan memberinya gelaran ‘Alauddin’ untuk kejayaan ini. Sebagai penghargaan, Alauddin diberi tanggungjawab untuk menjadi gabenor bagi wilayah Kara.

Alauddin Khalji baharu mencecah usia tiga puluh tahun ketika beliau mula menaiki takhta Delhi pada tahun 1296. Alauddin menduduki Indus pada tahun pertama. Ghazan Mahmud adalah penguasa dan pengasas Kerajaan Ilkhani. Pada tahun 1299 Alauddin Khalji berjaya menawan Punjab, diikuti tahun 1301 Ranthambore, dan tahun 1303 beliau  menawan Chittor.

Di India ketika itu, Rajput sangat berjaya. Nahan, Sirmur, Jammu dan Devagiri telah ditangkap oleh Alauddin Khalji. Raja-raja Rajput sangat takut dengan berita tersebut. Mereka menggunakan taktik yang berbeza untuk menentang Alauddin Khalji.

Namun, ia tidak berjaya. Raja Malabar berusaha sedaya upaya untuk melawan Alauddin Khalji tetapi akhirnya tewas. Alauddin Khalji kemudian mengibarkan bendera kemenangan di daerah Chanderi dan Dhara.

Meluaskan kerajaan dan menentang pencerobohan Mongol

Alauddin Khalji berjaya mengalahkan dua raja yang berkuasa pada dua tahun seterusnya. Beliau memperluas batas kerajaan dengan mengalahkan Raja Roy Karan dan Raja Roy Ramchandra. Namun, untuk kepuasan dirinya, Alauddin Khalji mengembalikan kerajaannya kepada Raja Ramchandra. Khalji juga mengamanahkannya untuk menguruskan Negeri Gujarat.

Hanya dalam masa dua tahun, Alauddin memperoleh pelbagai kelebihan. Dengan bantuan Raja Roy Ramchandra, Alauddin Khalji berjaya menguasai Barangal pada tahun 1309. Bagi kerajaannya, kemenangan itu merupakan pencapaian yang bermakna. Semasa ekspedisi ini, Alauddin Khalji menerima berlian Kohinoor yang terkenal dari Pratap Rudradeva, raja Dinasti Kakatiya.

Salah satu pencapaian besar Alauddin Khalji adalah melindungi kerajaannya dari pencerobohan Mongol. Tentera Mongol menyerang India sekurang-kurangnya 17 kali semasa pemerintahannya.  Namun, Alauddin Khalji dapat mengalahkan mereka setiap kali diserang.

Tentera Mongol juga harus membayar harga yang tinggi. Menurut sejarawan, lebih daripada tiga juta tentera Mongolia terbunuh dalam 17 peperangan ini.  Selepas  1308, orang Mongol tidak lagi berani menyerang India.

Alauddin Khalji telah meninggal dunia pada 4 Januari 1318. Sama ada beliau telah dibunuh atau mati, misteri masih belum dapat diselesaikan. Selama pemerintahannya yang cemerlang, beliau telah merumuskan dan meningkatkan pembaharuan pentadbiran, percukaian dan hasil negara, juga ketumbukan tentera dan reformasi sosial.