Albania, negara Islam di tengah benua Eropah

Cities-Tirana-Albania
Tirana, ibu negara Albania © salamweb.com

Siapa sangka, di tengah-tengah benua Eropah, wujud beberapa negara Muslim. Dan salah satunya adalah negara Albania. Antara salah satu fakta menarik berkenaan Republik Albania ini ialah majoriti penduduknya adalah mereka yang memeluk agama Islam, walaupun berada di tengah benua Eropah.

Apa yang menarik berkenaan perkembangan Islam di negara ini?

Peluasan kuasa Turki Uthmaniyyah sebarkan Islam di Albania

Pada tahun 1385, tentera Turki Uthmaniyah telah menjejakkan kaki mereka buat pertama kalinya di pesisir pantai Ionian, Republik Albania. Tentera Turki telah menduduki kebanyakan kawasan di Albania sehingga tahun 1431.

Penduduk asal Albania yang pada mulanya beragama Kristian telah mula memeluk agama Islam pada abad ke-17. Antara faktor yang menyebabkan mereka beramai-ramai memeluk Islam bukan hanya disebabkan penguasaan tentera Turki. Tetapi juga disebabkan oleh penindasan oleh ajaran Katolik.

Penduduk Albania yang bermazhab Ortodoks pula mula memeluk Islam kira-kira satu abad kemudian.

Sehingga hari ini, agama Islam merupakan agama majoriti bagi rakyat Albania iaitu kira-kira 60% daripada keseluruhan rakyatnya. Sekitar 17% yang lain beragama Kristian, manakala bakinya adalah lain-lain agama.

Miliki 750,000 bunker di seluruh Albania

Percaya atau tidak, anda boleh melihat kewujudan bunker yang berdiri teguh di seluruh pelusuk Albania. Ini disebabkan jumlahnya yang terlalu banyak iaitu sekitar 750,000 bunker.

Ia dibina atas arahan Enver Hoxha, seorang diktator komunis ketika Perang Dingin bagi melindungi Albania daripada dijajah oleh pihak lain. Pembinaan bunker ini pada ketika itu telah melemahkan sistem ekonomi Albania disebabkan kos keseluruhannya yang tinggi.

Malah, walaupun ia dibina dengan banyak bagi tujuan melindungi negara daripada penjajahan, Albania sebenarnya tidak diserang sepertimana yang ditakuti oleh Enver Hoxha. Bunker-bunker ini kekal tidak digunakan, bahkan menjadi sesuatu yang mencacatkan pemandangan pada masa kini.

Ada sesetengah penduduk Albania juga tidak menyukai bunker-bunker ini memandangkan ia mengingatkan mereka kepada sejarah lampau mereka yang terpaksa hidup dalam pengasingan.

Namun, ada sesetengah daripada bunker-bunker ini kini telah dijadikan sebagai muzium untuk menarik pelancong.

Negara yang kaya dengan spesis flora

Walaupun Albania bukanlah negara Eropah yang besar, tetapi ia diiktiraf sebagai antara negara yang mempunyai spesis tumbuhan paling banyak di Eropah. Di Albania sahaja, ia memiliki 3,250 jenis spesis tumbuhan dan ia mewakili 30% daripada keseluruhan jenis tumbuhan yang terdapat di seluruh Eropah.

Anda boleh melihat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan ini di 15 buah taman negara yang terdapat di negara ini. Salah satu taman negara iaitu Butrint, adalah sebuah taman negara yang mendapat status UNESCO World Heritage Site. Ini kerana ia mempunyai tapak-tapak arkeologi yang berkait rapat dengan peninggalan Empayar Rom.

Terus berpegang dan mengamalkan Islam

Walaupun berada di tengah-tengah Eropah, di mana agama Kristian merupakan agama majoriti bagi negara-negara Eropah, ia tidak melunturkan semangat penduduk Albania untuk terus berpegang dan mengamalkan ajaran Islam.

Sejarah telah menunjukkan bahawa, agama Islam itu boleh tersebar melalui pelbagai cara dan ia akan terus tersebar walaupun di tengah-tengah benua Eropah.