Aliran Sains atau Sastera – kehendak ibu bapa atau anak-anak

Ruangan Kanak-kanak Chan Abdullah 30-Ogo-2020
dreamstime_s_145295559
Aliran Sains atau Sastera? © Phoebe Teng | Dreamstime.com

Aliran Sains atau Sastera? Persoalan ini sering diperkatakan apabila murid-murid melangkahkan kaki ke tingkatan empat. Sudah menjadi kelaziman bagi murid-murid yang mendapat deretan ‘A’ dalam Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) akan ditempatkan di dalam aliran Sains di asrama penuh, manakala murid-murid yang mendapat keputusan kurang cemerlang akan ditempatkan dalam aliran Sastera atau kolej vokasional.

Malahan, adakalanya ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam mendominasi keputusan anak-anak itu sendiri. Dalam hal ini memang tidak dapat kita nafikan bahawa aliran Sains menjadi rebutan para pelajar. Malahan sesiapa yang memasuki aliran Sains dilabelkan sebagai pelajar yang pintar. Keadaan ini ditambah pula dengan persekitaran semasa yang menganggap pelajar aliran Sains mempunyai masa depan yang cemerlang berbanding pelajar aliran Sastera.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang guru di sebuah sekolah di kota raya, kecenderungan murid-murid memilih aliran Sains lebih tinggi berbanding aliran Sastera. Memang tidak dapat dinafikan rata-rata murid-murid di sini berasal daripada latar belakang keluarga yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

Lantaran itu, ibu bapa lebih menggalakkan anak-anak untuk memasuki aliran Sains yang dilihat mampu memberikan ‘rezeki’ yang baik buat anak-anak sehingga aliran Sastera dipandang sepi. Saya akui terdapat anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang berminat untuk memasuki aliran Sastera, namun atas desakan ibu bapa, mereka tidak mempunyai pilihan.

Situasi inilah yang saya lihat membunuh bakat anak-anak dan keinginan mereka sehingga menyebabkan ada yang gagal mengekalkan prestasi  cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur barulah ibu bapa tersedar. Malahan terdapat juga anak-anak yang mendapat keputusan kurang cemerlang turut didesak oleh ibu bapa untuk memasuki aliran Sains yang diagung-agungkan.

Natijahnya anak-anak akan mengalami tekanan perasaan dan emosi lantaran tidak dapat mengikut subjek yang diajar dalam aliran Sains dengan baik sekaligus menguburkan minat anak-anak untuk terus berjaya. Terdapat ibu bapa yang tetap ingin mempertahankan kemampuan anak-anak memasuki aliran Sains sedangkan sememangnya tiada kemampuan dalam kalangan anak-anak.

Sewajarnya ibu bapa harus sedar kemampuan dan minat anak-anak itu sendiri sebelum membuat suatu keputusan yang drastik buat anak-anak. Kedua-dua aliran ini mempunyai kelebihan masing-masing. Pelbagai pihak dari agensi kerajaan dan swasta turut menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mengambil aliran Sastera. Pelajar-pelajar aliran Sastera juga turut diberi peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Lantaran itu, sebagai ibu kita harus bijak melihat potensi anak-anak bukannya terlalu mengikut kehendak diri kita. Menerusi kurikulum baharu yang dilaksanakan, kepentingan Sains dan Sastera akan diberi penekanan dan tidak boleh diasingkan, sebaliknya perlu disatukan. Persoalannya mampukah idea ini direalisasikan dan adakah guru-guru serta sistem pendidikan kita sendiri mampu menerima perubahan ini?

Seandainya idea ini terlaksana kita mampu mengikis pandangan masyarakat terutama ibu bapa itu sendiri bahawa hanya mereka yang tergolong dalam jurusan Sains mampu mempunyai pelbagai kerjaya manakala mereka dalam bidang Sastera dihukum sepanjang hayat.

Kerjaya anak-anak seharusnya ditentukan oleh anak-anak sendiri. Malahan, lebih baik sekiranya ibu bapa yang memberi bimbingan bukannya paksaan dalam menentukan hala tuju anak-anak pada masa depan.