Alunan Qasidah dan Nasyid di Satu Pentas

Alunan qasidah merupakan sejenis syair Arab, puisi atau puji-pujian terhadap Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. yang dilagukan atau dinyanyikan.

Ia adalah sebuah seni dalam Islam yang perlu diangkat martabatnya dan diperkenalkan dengan lebih agresif dalam kalangan umat Islam pada masa kini, terutamanya generasi muda.

Menyedari kepentingan tersebut, Pertubuhan Seni Qalam dan Academy Sharifatuna Quranic Arts dengan sokongan Jabatan Warisan Negara serta Istana Budaya bakal menganjurkan acara Malam Kesenian dan Kebudayaan Qasidah Night.

Dengan mengetengahkan dua nama besar dalam industri tempatan dan antarabangsa, iaitu kumpulan nasyid Raihan dan Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009, Ustazah Sharifah Khasif Syed Badiuzzaman, persembahan qasidah berbentuk makan malam itu akan turut mengetengahkan alunan lagu-lagu nasyid popular Raihan.

Menurut Sharifah Khasif, idea untuk mengadakan Qasidah Night itu tercetus apabila dirinya dan kumpulan Raihan berlayar di atas sebuah kapal ke Acheh tidak lama dahulu.

“Selama ini saya sering mendengar dan membaca mengenai kehebatan kumpulan Raihan dan amat mengagumi mereka.

“Namun, setelah mendengar sendiri dendangan lagu-lagu nasyid yang mereka alunkan ketika pelayaran tersebut, saya terus berbincang dengan mereka untuk mengadakan acara seperti ini.

“Ini kerana saya tahu Raihan mempunyai kekuatan tersendiri dari segi harmoni vokal selain kekuatan nama kumpulan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Malam Kesenian dan Kebudayaan Qasidah Night di Kuala Lumpur.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Raihan, Che Amran berkata, Qasidah Night merupakan sebuah acara persembahan yang unik kerana ia julung kali menggabungkan elemen qasidah dan nasyid.

“Disebabkan itulah, sebaik ditawarkan peluang ini, kami terus bersetuju dan berharap agar ia dapat menjadi sebuah platform dakwah kepada para tetamu yang hadir,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai masa depan seni qasidah dalam industri pada masa ini, wakil penganjur dari DVA Event and Management, Aznil Zulkifli memberitahu, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Warisan Negara untuk menjadikan qasidah sebagai warisan kesenian negara.

“Jabatan Warisan Negara berhak untuk memilih dan menyenaraikan warga Malaysia sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup atau lebih dikenali sebagai Wakoh.

“Perbincangan ini bertujuan untuk mendaftarkan Sharifah Khasif dan Raihan sebagai satu produk qasidah, taranum atau nasyid,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya berhasrat untuk mengangkat qasidah sebagai satu produk Malaysia yang boleh dijual di negara-negara yang mempunyai penduduk Islam seperti Australia, Rusia, China dan Timur Eropah.

“Kami ingin memberitahu kepada dunia mengenai kebudayaan Islam yang indah, seterusnya mempromosikan keamanan kepada semua manusia sejagat,” ujarnya.

Bakal berlangsung di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara Kuala Lumpur pada 27 April ini, acara Malam Kesenian dan Kebudayaan Qasidah Night diuruskan oleh Sharifah Khasif Production Sdn. Bhd. dan DVA Event and Management.

Persembahan akan dibahagikan kepada dua segmen di mana segmen pertama akan menampilkan persembahan kebudayaan dengan kerjasama Istana Budaya.

Manakala segmen kedua akan menyajikan persembahan daripada Sharifah Khasif dan Raihan serta Datuk Jamal Abdillah sebagai artis jemputan.

Tiket dijual pada harga RM300 yang boleh dibeli menerusi talian 03-4144 1104/ 012-274 7918 atau 012-312 6254.

 

Gambar: Nor Syariza Tahir