Alyssa Dezek, Si Cilik Serba Boleh

Alyssa Dezek

Baru berusia 11 tahun, namun, si cilik ini sudah pandai bermain pelbagai alat muzik dan mengumpul pengikut seramai 1.1 juta orang di saluran YouTube: Alyssa Dezek.

Itulah kelebihan yang diberikan kepada pemilik nama Aryanna Alyssa Dezek atau lebih dikenali sebagai Alyssa Dezek.

Lebih membanggakan, gadis genit ini belajar bermain ukulele secara sendiri hanya dengan berpandukan YouTube seawal usia 4 tahun sebelum mula menyertai kelas muzik.

Kini, Alyssa bukan sahaja handal bermain ukulele, malahan turut pandai bermain gitar dan biola selain nyanyiannya yang amat merdu.

Ditanya mengenai bagaimana minatnya bermula dalam bidang seni, anak sulung daripada dua beradik ini berkata, minatnya terhadap ukulele bermula apabila dia ternampak orang menjual alat muzik itu di sebuah pasar raya.

“Tiba-tiba saya terasa ingin bermain ukulele dan meminta ayah dan ibu untuk membelinya. Selepas itu, saya mula belajar bermain alat muzik itu dengan berpandukan YouTube.

“Bagaimanapun, ketika ibu bapa hendak mendaftarkan saya di kelas muzik, saya tidak diterima masuk kerana baru berumur 4 tahun pada ketika itu,” ceritanya memulakan perbualan.

Ujar Alyssa, melihatkan kesungguhan dan bakatnya dalam membaca nota dan bermain ukulele, dia akhirnya diterima masuk ke kelas tersebut, dan di situlah minatnya terhadap alat muzik itu semakin mendalam.

Kehidupannya kemudian mula berubah apabila ibunya memuatnaik video Alyssa menyanyi lagu ‘Kun Anta’ sambil bermain ukulele di YouTube sehingga menjadi tular.

“Semenjak itu, bilangan pengikut saya meningkat dan apa yang lebih mengharukan adalah peminat turut datang dari Indonesia dan Filipina.

“Apabila saya menyanyikan cover lagu ‘Merindukanmu’ nyanyian Dash Uciha, ia menjadi hit dalam kalangan peminat di Indonesia dan sejak itu, peminat saya dari sana bertambah,” jelas gadis comel yang petah berbicara ini.

Selain itu, video-video cover ukulele terbaiknya, yang menyanyikan lagu ‘Tak Tun Tuang’ sehingga kini mencatatkan tontotan sehingga 30.8 juta, selain ‘Despacito’ sebanyak 9.3 juta tontotan.

Kilauan bintang Alyssa dalam persada seni semakin terang apabila dia menyertai pertandingan ‘Ceria All Star’ pada usia kira-kira 7 tahun.

Bermula dari saat itu, bakat Alyssa lebih dikenali ramai dan dia mula mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama dan telemovie popular seperti ‘Kasut Bola Pink’, ‘Ana Anak Ibu’ dan ‘Jangan Sembelih Merah’.

Karier gadis yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Setapak ini kini lebih menyerlah dan teratur apabila dia kini bernaung sebagai artis di bawah syarikat pengurusan Xeno.

Alyssa kini hadir dengan single ‘Ma dan Pa’ selain sebuah lagi single terbaharu yang dijangka dikeluarkan pada hujung tahun ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan jangka panjangnya, gadis ini berkongsi mengenai impiannya untuk membuat persembahan dan bertemu peminat di Filipina dan Indonesia.

“Disebabkan ramai peminat saya turut berasal dari kedua-dua negara itu, saya berhasrat untuk membuat persembahan di sana atau merakamkan lagu di Indonesia,” kongsinya yang bercita-cita untuk menjadi penyanyi bertaraf antarabangsa dan bijak seperti Yuna.

Bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun depan, Alyssa berkata, dia akan memperlahankan sedikit aktiviti seninya bagi memberikan tumpuan terhadap pelajaran.

“Pada masa ini, jika saya mempunyai aktiviti seni pada waktu persekolahan, saya akan belajar kembali dengan guru tuisyen selain turut meminta bantuan rakan-rakan sekolah.

“Namun, pada tahun depan, saya perlu memberi lebih tumpuan kepada pelajaran untuk bersiap sedia menghadapi UPSR,” ujarnya pada akhir perbualan.

 

 

Foto: Aiem Rahman & Alyssa Dezek