Amalan baik, ganjaran dan balasan

Sahsiah Hanita Hassan 21-Jul-2020
Amalan baik, ganjaran dan balasan © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Segala perbuatan baik atau jahat yang dilakukan oleh kita akan dicatat oleh malaikat penjaga dalam buku amalan tanpa tertinggal satu pun.  Begitu juga apabila kita baharu berniat dan belum lagi melakukan sesuatu kebaikan atau kejahatan, juga akan dicatat.

Daripada Abdullah Ibnu Abas r.a, Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Tuhannya yang berfirman: “Bahawasanya Allah SWT menulis segala kebajikan dan segala kejahatan, kemudian Nabi SAW menjelaskan yang demikian itu.

Maka sesiapa yang bercita-cita membuat sesuatu kebajikan tetapi tidak dikerjakannya, nescaya Allah SWT menulis di sisinya satu kebajikan yang sempurna, maka jika ia bercita-cita membuat kebajikan lalu dikerjakannya, nescaya Allah akan menulis di sisinya 10 kebajikan hingga 700 kali ganda dan sehingga berganda-ganda banyaknya.

Dan sesiapa yang bercita-cita untuk berbuat kejahatan tetapi tidak dilakukannya, maka Allah SWT menulis di sisinya satu kebaikan dan sesiapa yang bercita-cita membuat kejahatan, lalu dilakukan kejahatannya itu, maka Allah akan menulis di sisinya satu kejahatan.” (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Islam adalah agama yang mementingkan perkara kebaikan dan menggalakkan kita berlumba-lumba melakukannya. Setiap amalan kita sama ada yang baharu berniat atau sudah dikerjakan, akan turut mendapat perhatian dan nilaian daripada Allah SWT.

Kebaikan dalam Islam mencakupi semua perbuatan baik dan bertepatan dengan syariat serta diredai Allah SWT. Ia mencakupi aspek ibadah (hablum min Allah) dan hal-hal kemasyarakatan (hablum min an-Nas).

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya ada seorang lelaki yang mendatangi Rasulullah lalu berkata:  Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah dan amal apakah yang paling dicintai Allah?

Rasulullah SAW menjawab: “Manusia yang paling dicintai Allah SWT adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain, sedangkan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang muslim atau engkau  menghilangkan kesulitannya atau engkau melunasi hutangnya atau membebaskannya daripada kelaparan.” (Hadis riwayat al-Tabari, 13646)

Sesungguhnya beriman kepada Allah SWT dan mentaati-Nya adalah satu kebaikan, keikhlasan niat dan beramal dengan ikhlas adalah satu kebaikan dan melakukan kebaikan sesama manusia juga adalah satu kebaikan.

Marilah kita menyegerakan niat dan hasrat untuk melakukan kebaikan dan jangan bertangguh.  Kita laksanakan amalan soleh ketika lapang sebelum sibuk, semasa sihat sebelum sakit, semasa hidup sebelum mati dan sebelum datangnya halangan di hadapan yang tidak kita ketahui pada masa hadapan.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah mengerjakan amal-amal soleh kerana akan berlaku satu fitnah seperti malam yang sangat gelap.  Dalam keadaan itu terdapat juga orang yang di sebelah paginya sebagai seorang mukmin dan sebelah petangnya kafir.  Begitulah sebaliknya, di sebelah petang mukmin dan di sebelah paginya kafir.  Dia menjual agamanya kerana kepentingan dunia yang sedikit.” (HR Muslim)

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang Muttaqin (orang yang bertakwa dan memelihara diri dengan melakukan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-larangan-Nya) yang mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.