Amalan dan langkah melawan nafsu amarah

Kesejahteraan Mental 05 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Amalan dan langkah melawan nafsu amarah
Amalan dan langkah melawan nafsu amarah © Otherlet | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan tentang amalan dan langkah melawan nafsu amarah  yang dianjurkan dan pesanan Nabi Muhammad SAW ketika melawan nafsu amarah.

Tidak dinafikan, apabila berada dalam keadaan tertekan atau diuji, perasaan yang paling hampir adalah amarah. Menahan nafsu amarah dengan sabar merupakan sifat terpuji dan sangat dituntut dan dijamin syurga.

Amalan dan langkah melawan nafsu amarah

Berikut adalah amalan dan langkah dalam melawan nafsu amarah:

Baca Isti’azah

Antara amalan dan langkah melawan fafsu amarah dalam Islam ialah yang pertama, bacalah doa isti’azah atau ta’awuz yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk”.

Datuk Dr. Norhafizah Musa seorang personaliti dakwah ada berkongsi mengenai nafsu amarah. Tika mana seseorang itu sedang marah, maka dia berada di bawah pengaruh syaitan.

“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.”

(Sunan Abi Daud)

Berwuduk

Selain itu, Rasulullah SAW menganjurkan orang yang bersifat pemarah supaya berwudhuk (mengambil air sembahyang) supaya ia dapat meredakan api kemarahan. Ini kerana, dengan berwudhu’ mampu bertindak balas dan mengawal emosi marah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Hanya akan terpadam api itu dengan air. Maka jika kamu merasa marah maka hendaklah kamu berwuduk.”

Diam

Amalan yang diseanjurkan dalam Islam adalah kita juga perlu diam ketika marah. Ini kerana untuk menjaga hati dan perasaan orang yang kita marah. Biasanya perkataan atau ucapan ketika marah boleh menyebabkan perasaan seseorang itu akan terguris.

Menukar posisi kedudukan

“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”

(Sunan Abi Daud)

Ini kerana, apabila kita berdiri ketika marah, kita akan membesarkan diri kita. Ini boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan makin besar.

Beralih tempat

Langkah seterusnya ialah, jika berbaring juga tidak membantu dan melegakan api kemarahan, beralihlah ke tempat lain. Dengan ini boleh menghilangkan rasa marah dengan tidak menjerumuskan diri dari godaan syaitan. Ia juga boleh menjauhkan diri dari terlibat dengan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Dalam satu kisah, seorang ayah menasihati anaknya supaya menukul paku di dinding setiap kali rasa hendak marah. Dan apabila hilang rasa marah, si ayah meminta anaknya supaya menanggalkan kembali paku-paku itu.

Kemudian si ayah menyuruh anaknya melihat kesan paku yang telah dicabut terdapat pada dinding itu. Ternyata, ia sangat meningglkan kesan yang sangat besar. Remuk dan hancur. Begitulah perumpamaan kesan marah jika kita tidak melawannya.

Sebagai intiha, dengan usaha menjauhi api kemarahan ini, cuba amalkan amalan dan langkah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ini agar kita dapat mengelakkan diri dari menyakiti hati orang lain. Kita melatih diri untuk menjadi orang yang lebih sabar dan waras dalam mendepani rasa marah.