Amalan istighfar yang indah

Istighfar dan cari keredaan Allah © motortion | Dreamstime.com

Kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan masalah dalam mengharungi  kehidupan ini.  Apatah lagi dengan situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia.  Ada yang kehilangan orang tersayang, diberhentikan kerja dan terputus pendapatan.  Tidak kurang juga yang terpaksa menamatkan perniagaan.

Istighfar adalah satu kunci untuk kita ‘menjemput’ rezeki dan menyelesaikan masalah.  Banyak petunjuk yang membuktikan Allah SWT menurunkan rezeki kepada orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Istighfar merupakan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Yang Maha Pencipta, yang menjadi asbab Allah SWT jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya.  Allah juga berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan kita dengan amalan istighfar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Kisah Imam Ahmad Hanbal r.a. dengan penjual roti boleh dijadikan tauladan. Beliau yang bermusafir, singgah di satu perkampungan dan berniat untuk tumpang bermalam di masjid tetapi tidak dibenarkan kerana beliau orang luar.

Kebetulan, penjual roti bertanya kepada Imam Ahmad r.a. dan apabila dimaklumkan keadaannya, lelaki itu mengajaknya ke rumah. Pada malamnya, Imam Ahmad mendengar penjual roti beristighfar sambil membuat roti.

Pada siangnya, Imam Ahmad bertanya kenapa beliau beristighfar sepanjang membuat roti.  Lelaki itu berkata, beliau banyak dosa kerana Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki tetapi satu doanya belum termakbul.  Dia teringin bertemu dengan Imam Ahmad.  Apabila mendengar jawapan itu, Imam Ahmad memberitahu, beliaulah orang yang ingin ditemui penjual roti itu.

Begitulah hebatnya kuasa istighfar.  Allah SWT mengaturkan Imam Ahmad r.a. untuk tidur di rumah penjual roti itu semuanya bersebab. Apabila  kita diberi nikmat, itu adalah kurniaan Allah dan andai tidak dapat apa yang diinginkan, jangan sekali-kali menyalahkan Allah sebaliknya bermuhasabah diri

Daripada Ibni Abbas r.a., Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan daripada setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Kisah Nabi Yunus a.s. juga boleh disifatkan sebagai contoh terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah SWT. Baginda sentiasa mengingati Allah ketika senang.  Atas pertolongan Allah, Nabi Yunus tidak mati dalam perut ikan dan dapat keluar dengan selamat.

Betapa banyaknya amanah yang telah kita ingkari, maka marilah kembali menghayati dan mengamalkan istighfar.  Semoga Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik buat kita dalam mengharungi masalah dalam kehidupan ini.