Amalan pahala ketika uzur syarie

Kehidupan Hanita Hassan 07-Mei-2020
Mengejar pahala Ramadan ketika uzur © Jinaritt Thongruay - Dreamstime.com

Sudah beberapa hari kita berada di dalam Ramadan, menikmati harumnya bau-bauan syurga.  Ketenangan ini sukar terjangkau dek akal.  Namun ia benar-benar sedang berlaku.  Kita tidak perlu lagi berkejar-kejar ke pejabat memikirkan hal-hal duniawi.  Kita hanya perlu duduk rumah dan menikmati anugerah kurniaan Allah SWT  dengan penuh kesyukuran.

Setiap kali Ramadan, kita selalu berhasrat meningkatkan ibadah lebih baik daripada tahun-tahun sudah.  Tidak kira lelaki atau wanita, semua mahu melakukan yang terbaik dan memperoleh ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT. Apatah lagi dalam situasi hari ini yang tidak memerlukan kita berada di luar rumah.

Sayangnya semangat berkobar-kobar ini akan terputus di tengah jalan terutama bagi kaum wanita yang uzur syarie iaitu datang haid, nifas dan wiladah. Tidak kurang juga yang diuji dengan darah istihadah. Begitu juga kalau anda mengandung dan perlu menyusukan anak atau orang tua yang sangat uzur.

Anda direhatkan sementara daripada melakukan amalan solat fardhu dan berpuasa.  Begitu juga dengan amalan solat-solat sunat seperti solat dhuha, solat tarawih, solat tahajud dan solat-solat sunat malam yang lain.

Namun, kecanggihan teknologi yang dibina oleh manusia membolehkan banyak perkara yang mustahil dahulu boleh dilakukan hari ini.  Anda tidak perlu bimbang kerana banyak amalan baik boleh dilakukan walaupun dalam keadaan uzur.

Anda boleh menggunakan masa lapang untuk berada di majlis-majlis ilmu dengan menonton di saluran media sosial walaupun berada di rumah.  Ramai pendakwah sudah mula menggunakan internet dan akaun di media sosial untuk menyampaikan mesej dakwah. Hari ini dengan hanya menekan satu butang di jari anda, dakwah boleh masuk ke dalam rumah, malah ke dalam bilik jika kita mahu melakukannya.

Anda juga boleh melakukan amalan berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertahlil serta berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.  Ia akan menjadikan anda insan yang lebih tenang, menguatkan tubuh dan hati, menarik rezeki , menjauhi diri daripada syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.  Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Al-‘Ahzab: 41-42)

Selain itu, elakkan bersembang perkara yang sia-sia dengan jiran atau rakan sekerja. Anda juga boleh berkongsi gambar, video atau artikel yang mengajak kepada kebaikan kepada rakan-rakan di media sosial.

Waktu bersahur dan berberbuka puasa boleh digunakan untuk menyediakan hidangan sama ada untuk keluarga, jiran atau adik-beradik anda yang berpuasa.  “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun.”  (At-Tirmidzi)

Amalan seperti memberi salam  dan mendengar bacaan al-Quran tanpa memegangnya dan membantu orang yang memerlukan pertolongan juga adalah pekerjaan murni yang boleh dilakukan.

Sesungguhnya jika kebaikan yang anda cari dalam hidup, anda pasti akan ditemukan dengan  jalan tersebut oleh Allah SWT.  Justeru, jangan biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja.  Kejarlah ia selagi berkesempatan.  Selamat menunaikan ibadah puasa.