Amalan sunah: rahsia di sebalik janggut

Masyarakat Hanita Hassan 11-Nov-2020
dreamstime_s_181411079
Amalan sunah: rahsia di sebalik janggut © Elmirex2009 | Dreamstime.com

Setiap lelaki maskulin akan lebih menyerlah penampilannya apabila tampil dengan misai, janggut dan jambang.  Ia seolah-olah menjadi trend sebagai pelengkap lelaki pilihan wanita.  Lelaki yang menyimpan janggut dan jambang bukan sahaja kelihatan lebih matang tetapi juga menyakinkan.

Kajian dari sebuah universiti terkemuka di luar negara mengatakan bahawa 70% wanita di seluruh dunia suka dengan imej lelaki berjanggut. Hasil kajian juga mendapati khasiat lelaki berjanggut adalah luar biasa.

Janggut adalah lebih daripada penyeri wajah

Ia bukan sahaja berfungsi sebagai penyeri wajah lelaki, jauh daripada itu. Janggut bertindak melembapkan kulit wajah, mengelakkan masalah jerawat, memberi perlindungan daripada sinaran UV dan mengurangkan gejala asma dan alahan.  Ia juga membantu melindungi kulit agar tetap sihat, mengurangkan tanda penuaan serta menjadi awet muda.

Bagi kaum isteri, rebutlah peluang pahala dengan merenung wajah suami dan mengusap jambang dari dagu hingga ke penghujungnya. Jambang atau janggut juga dikatakan mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita dan menstabilkan kitaran haid.  Ia juga menggalakkan pertumbuhan telur wanita melalui sentuhan dan belaian pada jambang atau janggut suami.

Sedar atau tidak, bahawa memelihara janggut dan jambang adalah sunah. Imam at-Tirmidzi dalam Syamail Muhammadiyyah menyebut bahawa sifat janggut Nabi Muhammad SAW adalah tebal dan lebat.  Ia adalah amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh para sahabat, para tabiin dan salaf as-soleh.

Rasulullah SAW telah menegah para sahabat daripada mencukur janggut. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada mereka dengan mengerat misai kamu dan memanjangkan janggut-janggut kamu.”

(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Sunat adalah perbuatan yang apabila dikerjakan akan memperoleh pahala.  Sebaliknya jika ditinggalkan tidak berdosa.  Dalam Islam, mencontohi segala perbuatan Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan adalah digalakkan sebagai bukti mencintai Baginda.

Istiqamah dalam mengamalkan sunah

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.”

(Surah al-Ahzab, ayat 21)

Setiap amalan Rasulullah SAW boleh ditiru dan ia tidak sukar.  Syaratnya kita hendaklah bersungguh-sungguh dan istiqamah. Amalan yang paling mudah adalah memasang niat.  Niat yang baik mendorong kita melakukan perbuatan yang baik. Niat adalah amalan hati dan sunah yang mudah dilaksana.

Kita juga dituntut menunaikan sunah yang wajib seperti menuntut ilmu selain mengamalkan sunah yang sangat digalakkan seperti memperbanyak zikir dan berselawat.  Dengan melakukan amalan ini, maka akan terpancarlah bayangan Rasulullah SAW melalui perlakuan, percakapan serta amalan Baginda yang kita contohi.

Setelah mengetahui kelebihan menyimpan jambang dan janggut, simpanlah ia. Tapi pastikan anda merapikannya dan memelihara sebaik mungkin supaya tidak kusut masai yang boleh memberi gambaran yang buruk terhadap anda.