Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Amalkan apa yang anda sampaikan

Falsafah 20 Jan 2021
Pendapat oleh Hanita Hassan
Amalkan apa yang anda sampaikan
Amalkan apa yang anda sampaikan © Albertshakirov | Dreamstime.com

Sememangnya penting bila kita dapat membantu orang di sekeliling untuk mengetahui kaedah yang betul, menasihati dan membimbing mereka. Sebegitulah pentingnya memastikan bahawa kita berada di jalan yang benar terlebih dahulu – Amalkan apa yang anda sampaikan.

Sudah tentu, nasihat yang sopan dan bijaksana adalah sangat digalakkan. Tetapi harus diingat akan tanggungjawab kita untuk memastikan kita juga bertanggungjawab. Kita perlu berhati-hati apabila menilai orang lain tentang apa yang mereka lakukan dan bukan apa yang kita sendiri lakukan.

Amalkan apa yang anda sampaikan

Apabila kita hanya melihat pada  tindakan orang lain, berkemungkinan akan menanam perasaan sombong dan bangga dalam diri. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.”

(Hadis riwayat Sahih Muslim, 51)

Terlalu fokus menilai tindakan orang lain juga boleh mengakibatkan kita mengata-ngata tentang mereka kepada orang lain. Terdapat sebuah hadis yang boleh mengingatkan kita tentangnya.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.” Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”

(Hadis riwayat Muslim, 2589)

Terdapat banyak ketika dalam kehidupan kita memberi nasihat kepada orang lain, seperti keluarga dan rakan-rakan. Mungkin kita telah memberi mereka penyelesaian untuk mengatasi suatu permasalahan, atau bagaimana memperbaiki aspek tertentu dalam kehidupan mereka.  Ketika memberi nasihat, kita juga tidak boleh melupakan tentang kehidupan kita sendiri.

Jadi contoh yang baik kepada orang lain

Sering kali, kita mungkin tidak menyedari bahawa sekiranya kita menggunakan nasihat yang sama yang kita berikan kepada orang lain untuk kehidupan kita sendiri, kita juga akan memperoleh banyak faedah.

Kadang-kadang kita tidak menyedari akan hakikat ini kerana kehidupan orang lain di hadapan kita. Kita dapat melihat dengan jelas apa yang salah dan betul dengan kehidupan yang mereka jalani.

Sebaliknya, apabila berdepan dengan kehidupan kita sendiri, kita sekadar sambil lewa sahaja kerana kesibukan dan pelbagai tugas lain yang harus dilakukan. Sehingga kita lupa menilai apa yang sedang berlaku dalam kehidupan kita dan apa yang perlu diubah.

Sebaik sahaja kita mula mempraktik apa yang kita sampaikan, kita juga akan menjadi contoh kepada orang sekeliling tentang pentingnya tanggapan ini. Apabila kita memberi nasihat supaya melakukan perbuatan baik atau perkara kebajikan, mereka akan memerhatikan bagaimana kehidupan yang kita jalani, tanpa menyedarinya.

Dengan mempraktikkan apa yang kita sampaikan, kita akan menunjukkan contoh kepada orang lain dan membantu mereka memahami kepentingan konsep ini. Ingat, cakap hendaklah serupa bikin!