Amalkan kuasa fokus dalam setiap pekerjaan

Kehidupan Chan Abdullah 16-Nov-2020
dreamstime_s_47356183
Amalkan kuasa fokus dalam setiap pekerjaan © - Dreamstime.com

Seperti kanta pembesar yang mampu menghasilkan kesan luar biasa menghidupkan api apabila fokus terhadap cahaya matahari, manusia juga dapat menghasilkan satu kesan luar biasa dengan kuasa fokus.

Bagaimana mahu fokus?

Satu perkara pada satu masa

Fokus satu perkara sahaja pada satu masa. Fikiran kita akan bercelaru jik aterlalu banyak memikirkan sesuatu perkara pada satu masa yang sama. Ianya sama dengan permukaan yang tidak rata pada kanta pembesar yang tidak dapat membalikkan cahaya dengan berkesan.

Fikiran yang bercelaru gagal menghasilkan hasil dan buah fikiran yang bernas. Apabila kita berhadapan dengan terlalu banyak perkara pada satu masa, kita tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada kerja dan perkara tersebut.

Akhirnya kualiti kerja kita juga berkurang dan kerja-kerja yang dilakukan akan terjejas. Lebih teruk jika kita mula hilang semangat untuk menyiapkan segala kerja yang sedang dibuat sehingga menjadi panik dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Ambil nafas dan berehat seketika. Senaraikan semua kerja yang perlu disiapkan berdasarkan urutan kepentingan. Siapakan kerja-kerja yang lebih penting berdasarkan tarikh akhir, satu persatu.

Amalkan kuasa fokus dalam setiap pekerjaan

Jika minda asyik teringat kerja yang lain ketika sedang melakukan sesuatu kerja, cuba fikirkan kembali. Dan jangan mengelak. Mungkin kerja yang selalu bermain di dalam minda itu lebih penting sehingga asyik diingati. Siapkan dahulu kerja tersebut agar tidak menggangu produktiviti anda.

Elakkan gangguan lain sewaktu sedang menyiapkan sesuatu kerja. Bagi mereka yang kerja di pejabat pastinya perkara ini kurang mengganggu. Tetapi bagi yang terpaksa bekerja dari rumah, pastinya ada banyak gangguan yang boleh mengurangkan produktiviti,

Fikir dan fokus tentang satu perkara pada satu masa sahaja. Buat sesuatu kerja dengan cermat dan tersusun. Cari jalan untuk siapkan sesuatu kerja dengan sempurna dan berkesan. Pada masa yang sama lupakan dahulu tentang kerja-kerja lain yang perlu diselesaikan.

Cuba amalkan kuasa fokus dalam setiap pekerjaan yang anda lakukan. Insya-Allah, anda akan dapat meningkatkan produktiviti dan juga kualiti hasil kerja anda. Tak percaya? Cubalah dulu, baru tahu.