Amanah dalam perniagaan

Perniagaan Hanita Hassan
Hanita Hassan
Amanah dalam perniagaan
Amanah dalam perniagaan © Panchita Chotthanawarapong | Dreamstime.com

Perniagaan adalah satu bentuk pekerjaan yang halal untuk mencari rezeki dan sangat terpuji.  Ia disifatkan dalam al-Quran sebagai satu aktiviti yang dihalalkan. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Allah menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah, ayat 275)

Amanah dalam perniagaan

Imam Bukhari pernah meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa suatu hari seorang lelaki menemui Rasulullah SAW untuk meminta sedekah. Baginda menyuruh lelaki itu menunggu sekejap lalu masuk ke dalam rumah.

Setelah keluar, Baginda memberi sebilah kapak lantas menyuruhnya pergi bekerja mencari kayu dan menjualnya di pasar. Sebelum lelaki itu pergi, Baginda sempat mengingatkan kepadanya agar dua tiga hari lagi datang berjumpa dengan Baginda semula.

Setelah beberapa hari, lelaki itu menemui Rasulullah SAW semula dan terbukti motivasi dan semangat yang diberikan oleh Baginda telah membantu lelaki itu menjadi seorang usahawan yang terlibat dengan industri perkayuan. Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Mencari yang halal adalah fardu atas setiap Muslim.”

(Hadis riwayat Muslim)

Perniagaan adalah satu bentuk transaksi atau pertukaran barangan yang berlaku di antara dua pihak atau lebih. Ia berkait rapat dengan untung dan rugi. Setiap peniaga sudah pasti inginkan perniagaannya beroleh keuntungan.

Namun, Islam menetapkan bahawa setiap peniaga hendaklah menjaga sifat amanah dan jujur dalam menjalankan perniagaan. Rasulullah SAW adalah perintis kepada lahirnya usahawan Muslim.

Sebelum dan selepas diangkat menjadi rasul, Baginda adalah seorang peniaga.  Dalam perniagaan, Baginda mempunyai prinsip dan etika iaitu bersikap jujur dan amanah. Ketika Nabi Muhammad SAW menjalankan perniagaan Saidatina Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Jujur dan amanah ada keberkatan

Jujur dan amanah dalam perniagaan dapat memelihara diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan dosa. Anda perlu sentiasa beringat bahawa rezeki yang halal boleh tercemar menjadi haram sekiranya anda tidak bersikap jujur dan amanah.

Apabila menjual barang, ia sudah rosak atau luput tarikh atau anda mengurangkan sukatan timbangan. Islam menegah umatnya daripada melakukan tipu daya atau helah ketika melakukan jual beli.

Lebih membimbangkan ada pihak yang bersubahat dengan kontraktor meluluskan projek yang tidak mengikut syarat. Ia sekali gus membahayakan nyawa orang lain untuk jangka masa panjang.

Sebagai contoh, menggunakan material yang tidak berkualiti, menaikkan harga dalam resit pembelian, tidak menepati janji serta memberi suapan kepada pemberi projek.  Tidak kurang juga yang tidak membayar gaji pekerja dan tidak mengeluarkan zakat perniagaan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

(Surah al-Mutaffifin, ayat 1-3)

Sesungguhnya rezeki yang diperolehi dengan cara yang baik akan mendatangkan pahala dan manfaat, sebaliknya jika diperolehi dengan cara yang tidak baik, akan mendekatkan diri dengan seksaan api neraka bahkan dikeji dan dihina oleh seluruh makhluk didunia ini.

Justeru berniagalah secara jujur dan amanah kerana di dalamnya ada keberkatan.