Amar makruf nahi mungkar, ciri utama umat terbaik

Islam untuk Pemula 05 Apr 2021 Aimi Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Amar Makruf Nahi Mungkar, tonggak keunggulan Islam
Amar Makruf Nahi Mungkar, tonggak keunggulan Islam © Mark Milstein | Dreamstime.com

Amar makruf nahi mungkar merupakan antara asas penting yang membuktikan kesyumulan dan kemuliaan Islam. Konsep ini menafikan kedangkalan sesetengah pemikir yang menyamakan Islam seperti agama-agama lain.

Islam adalah agama terbaik kerana menggabungkan unsur keduniaan dengan tanggungjawab ukhrawi. Oleh itu, setiap umat Muhammad SAW berkewajipan memastikan pembentukan biah solehah sesama masyarakat dengan membudayakan amar makruf nahi mungkar.

Amar makruf nahi mungkar, ciri utama umat terbaik

Firman Allah Taala dalam surah Aal-i Imran, ayat 110 yang maksudnya:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.”

Dalam ayat ini, Allah SWT mengkhususkan ciri utama bagi gelaran umat terbaik adalah dengan menggerakkan usaha amar makruf nahi mungkar. Ia bukanlah semata-mata gelaran biasa, tapi merupakan satu jaminan oleh Allah untuk diselamatkan daripada kebinaasaan dunia dan akhirat.

Sekiranya konsep ini tiada dalam Islam, sudah pasti umat Islam akan dikuasai sifat ananiyyah(keakuan) yang melampau. Kehidupan bakal menjadi gundah-gulana dan serba tidak tenteram kerana umat hanya memikirkan diri masing-masing.

Punca Yahudi dilaknat

Al-Quran mendedahkan punca bani Israel dilaknat adalah kerana kecuaian mereka melaksanakan amar makruf nahi mungkar secara menyeluruh dan tuntas.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat  78 dan 79 :

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud a.s dan Nabi Isa ibni Maryam a.s. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.

 

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

Oleh itu, umat Islam perlu melaksanakan tugas yang mulia ini mengikut kemampuan masing-masing kerana setiap tindakan kita akan dipersoal oleh Allah SWT kelak.

Berkira-kira ketika mencegah kemungkaran

Imam Ibn Kathirdalam tafsirnya memetik sebuah hadis riwayat Imam Abu Daud r.a dalam menafsirkan ayat di atas (surah Al-Maidah, ayat 79). Kesimpulannya, Rasulullah SAW mendedahkan punca utama laknat tersebut bukanlah kerana mereka tidak mencegah kemungkaran langsung. Tapi disebabkan mereka berkira-kira dalam melakukannya.

Nabi Muhammad SAW mengatakan, seseorang lelaki bani Israel masih mencegah kemungkaran pada peringkat awal, namun berhenti melakukannya disebabkan si pelaku maksiat sudah menjadi teman setia sehingga mereka makan, minum dan duduk bersama.

Sememangnya mencegah kemungkaran akan menjadi lebih susah sekiranya si pelaku merupakan teman rapat, tokoh yang diminati atau ahli keluarga kita sendiri. Dalam hadis lain, Baginda Rasulullah SAW menegaskan lagi:

“Sekiranya Fatimah, anak perempuan Muhammad mencuri sekalipun, akan ku potong tangannya”

Inilah prinsip yang diajar dalam Islam iaitu mencegah kemungkaran secara tuntas tanpa pilih bulu.

Akibat tidak mencegah kemungkaran

Sekiranya azab Allah Taala datang, ia tidak akan tertimpa kepada kelompok pelaku maksiat sahaja, bahkan termasuk orang soleh dan masyarakat seluruhnya. Oleh itu, kita perlu terus melaksanakan usaha amar makruf nahi mungkar demi mendapatkan keredaan Allah dan menjauhi kemungkaran-Nya.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang bala tidak melakukan tugasan mulia ini dalam satu hadis sahih riwayat At-Tirmidzi.

Daripada Huzaifah r.a daripada Nabi Muhammad SAW, sabda Baginda:

“Demi jiwaku di dalam genggaman-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar atau Allah SWT mengirim untuk kalian azab daripada-Nya, kemudian kamu berdoa pada ketika itu, tidak akan dimustajabkan bagi kamu.”