Amerika diterangi cahaya ungu dan emas bagi mengenang Kobe Bryant

Uncategorized Hafiz Firdaus 27-Jan-2020
Mendiang Kobe Bryant
Mendiang Kobe Bryant © Jerry Coli | Dreamstime.com

Laungan ‘Terima Kasih, Kobe’ oleh ribuan peminat Lakers yang berkumpul di Staples Center, Los Angeles (LA) adalah sebahagian daripada tanda penghormatan bagi memperingati mendiang Kobe Bryant, pemain bola keranjang legenda LA Lakers. Mereka hadir dengan berjersi Lakers, jambangan bunga di tangan dan menyalakan lilin sebagai tanda berkabung di sekitar Staples Center.

Pemergian Kobe, 41 tahun, ternyata begitu mengejutkan dunia sukan dan peminat Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) Amerika. Kehilangan besar dalam dunia sukan bola keranjang ini berlaku di pagi ahad apabila Kobe bersama lapan penumpang helikopter yang dinaiki maut akibat terhempas di bandar Calabasas, California. Lebih menyedihkan, anaknya yang berusia 13 tahun, Gianna Maria-Onore Bryant juga terkorban. Siasatan untuk mengenal pasti punca nahas masih diteruskan.

Penghormatan turut diberikan di Anugerah Grammy yang berlangsung di sebelah malamnya, kebetulan diadakan di Staples Center, iaitu gelanggang utama LA Lakers tempat Kobe bermain sepanjang kariernya. Alicia Keys, pengacara pada malam itu memohon tetamu agar berdoa memberi penghormatan kepada Kobe sebelum persembahan khas kumpulan Boyz II Men.

Beberapa bangunan seperti menara Empire State, New York, Lapangan Terbang Los Angeles (LAX), dan Stadium Mercedes Benz dilihat menyalakan lampu ungu sebagai memperingati Kobe. Turut berkongsi kesedihan melalui media sosial termasuk selebriti terkenal seperti ikon sukan bola keranjang Michael Jordan, pelakon Leonardo DiCaprio dan Jennifer Lopez dan turut serta, bekas presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Presidennya sekarang, Donald Trump.

Selama 20 tahun bersama LA Lakers, Kobe telah berjaya menjuarai NBA sebanyak lima kali dengan pencapaian peribadi terbaik diraih pada tahun 2008 apabila dipilih sebagai pemain NBA paling berharga sebelum bersara pada April 2016. Kobe juga pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem animasi pendek ‘Dear Basketball’ pada tahun 2018.