Anak-anak Sidek – legenda badminton negara

Dunia Chan Abdullah 05-Sep-2020
dreamstime_s_133933885
Anak-anak Sidek - legenda badminton negara © Pressmaster | Dreamstime.com

Keluarga Sidek ialah sebuah keluarga yang mempunyai sejarah penting dalam arena sukan badminton negara. Keluarga SIdek ini mengungguli kancah sukan badminton negara dan tanah air sekitar tahun 80-an dan 90-an. Malah kisah legenda badminton tanah air, keluarga Sidek ini juga diangkat sebagai komik biografi animasi dan siri animasi pada era 90-an.

Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid merupakan anak-anak lelaki Allahyarham Dato’ Haji Sidek Abdullah Kamar. Haji Sidek telah melatih anak-anak lelakinya bermain badminton sejak kecil lagi. Usahanya ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menjadikan anak-anak lelakinya sebagai pemain badminton bertaraf antarabangsa.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya Haji Sidek sendiri adalah seorang pemain badminton. Beliau mula bermain badminton secara kompetitif pada usia 21 tahun pada 1957. Beliau merupakan juara peringkat daerah Kuala Langat tiga kali berturut-turut antara 1958-1964, juara Melayu Selangor pada 1960 dan Juara Piala Novis pada 1964.

Haji Sidek tidak dapat bermain di Piala Thomas. Namun impiannya diteruskan dengan melatih anak-anaknya bermain badminton sejak kecil di kawasan rumah mereka. Malah beliau sanggup menjual kebun bagi membina gelanggang simen di kawasan rumahnya dan membeli peralatan untuk melatih anaknya bermain badminton.

Ternyata usaha Haji Sidek membuahkan hasil apabila anak-anaknya berjaya membantu Malaysia menjuarai  Piala Thomas pada tahun 1992. Haji Sidek telah pergi selama-lamanya pada tahun 2005 pada usia 69 tahun akibat kompilasi buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan juga paru-paru.

Hasil didikan Haji Sidek telah melahirkan atlet sukan badminton yang cukup disegani di serata dunia. Anak lelaki sulung beliau, Misbun Sidek, telah berjaya memperbaiki pencapaian bapanya dengan menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan antara 1980-1984 dan 1986-1987, naib juara Piala Dunia pada 1982, naib juara Terbuka Seluruh England pada 1986, naib juara Grand Prix Dunia 1988 dan berjaya memenangi Anugerah Olahragawan Kebangsaan  pada 1981 dan 1983.

Manakala Razif dan Jalani pula berjaya membentuk pasangan regu yang mantap apabila berjaya menjuarai Terbuka Seluruh England pada 1982. Mereka juga menjadi juara Grand Prix Dunia pada 1986, 1988, 1989 dan 1991.

Mereka turut meraih pingat emas Sukan Komanwel pada 1990 dan menjadi juara Piala Dunia pada  tahun 1990 dan 1991. Mereka juga muncul juara Piala Thomas pada 1992. Malah mereka turut  menjadi atlet pertama Malaysia yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona pada tahun 1992.

Seterusnya Rahman berjaya menjuarai beregu lelaki Terbuka Swiss pada tahun 1988. Beliau juga menjadi juara beregu lelaki Terbuka Kanada dan juara beregu lelaki Terbuka Jerman pada 1990 bersama pasangannya. Malah beliau juga merupakan ahli pasukan yang menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992.

Akhir sekali ialah Rashid yang merupakan jaguh perseorangan badminton negara dan pernah meduduki kedudukan pertama pemain badminton dunia suatu ketika dahulu. Rashid telah berjaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel pada tahun 1990 dan 1994.

Beliau juga menerajui pasukan Malaysia yang berjaya memenagi Piala Thomas pada tahun 1992. Selain itu beliau juga pernah memenagi pingat gangsa pada Sukan Olimpik pada tahun 1996. Pada tahun yang sama juga beliau menjadi naib juara kejohanan All England.

Pencapaian keluarga Sidek ini memang sesuatu yang sangat membanggakan. Terima kasih anak-anak Sidek! Anda merupakan legenda badminton tanah air yang disayangi sentiasa.