Anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran dalam masyarakat

Keluarga Hagnas 12-Okt-2020
dreamstime_s_183520286
Anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran dalam masyarakat © Nadezhda1906 | Dreamstime.com

Agama Islam yang mulia mengajarkan kita supaya berinteraksi dengan orang lain sebagaimana kita mahu mereka berinteraksi dengan kita tanpa mengira harta, taraf, kurang upaya atau sebagainya. Dalam konteks itu, artikel ini cuba mengupas tentang anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran dalam masyarakat.

Di dalam Quran, dirakamkan oleh Allah SWT tentang Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang buta:

“Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! – Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.”

(Surah Abasa:1-4)

Daripada ayat-ayat di atas dan beberapa baris selepasnya, dapat kita ketahui  tentang tidak membeza-bezakan layanan terhadap seseorang kerana kecacatan mereka. Ramai lagi dalam kalangan sahabat merupakan orang kurang upaya. Contohnya Amr bin Jamuh r.a yang berjalan tempang, namun tiada sahabat mahupun masyarakat yang memandang buruk kepada dirinya.

Masalah dan cabaran daripada masyarakat umum

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak dengan masalah pembelajaran seperti ADHD (Attention-deficit/hyperactivity disorder) dan Dyslexia kerap menghadapi pelbagai cabaran daripada masyarakat dan juga saudara terdekat.

Mereka yang ada anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran dalam masyarakat ini kerap mengelak daripada berjumpa masyarakat dan kawan-kawan. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang diskriminasi masyarakat terhadap anak-anak mereka.

Sikap tidak menghormati atau memandang negatif kepada golongan yang sebegini menyebabkan mereka terpaksa berusaha dan berasa susah untuk hidup secara aman. Tetapi sebenarnya ada banyak cara untuk golongan yang mengalami masalah pembelajaran boleh lakukan bagi menampung kekurangan mereka ini dan mereka boleh hidup dengan harmoni bersama masyarakat sebenarnya.

Dalam Islam, kita dididik bahawa ibu bapa akan diberi pahala yang besar di atas pengorbanan mereka sewaktu menjaga anak-anak. Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mempunyai masalah kesukaran pembelajaran ini tentunya akan mendapat pahala yang lebih besar dari Allah SWT.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah r.a daripada Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah (SWT) akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Membesarkan anak-anak dan ujian yang dilalui

Sebenarnya, ramai manusia yang mengalami masalah pembelajaran sebegini berjaya dalam hidup. Malah, belajar ke peringkat yang  lebih tinggi daripada orang yang merasakan dirinya tiada masalah pembelajaran ini. Malah, ada juga yang lebih berjaya dalam kerjaya, perniagaan, dan sebagainya.

Saudara-saudara kita yang mengalami masalah kesukaran pembelajaran merupakan ujian buat kita.  Samada kita melayani mereka dengan baik, atau kita bersifat diskriminasi atau prejudis terhadap mereka. Islam tidak mahu kita melayani mereka dengan buruk.

Kita bertanggungjawab untuk saling membantu antara satu sama lain. Jika kita merupakan ketua, bekerja bersama haruslah ada aturannya yang memerlukan kepada hormat dan bertimbang rasa serta memberi peluang kepada semua untuk meningkat dalam kerjanya.

Moga Allah SWT mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami kesukaran pembelajaran dalam menghadapi karenah perejudis masyarakat sekitar. Allah Maha Melihat, setiap orang akan dihisab. Semoga Allah memberkati anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran ini dan mengurniakan mereka syurga Firdaus, syurga yang tertinggi. Allah ialah sebaik-baik penjaga. Aamin.