Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Anak bukan hak mutlak!

Keluarga 26 Jan 2021
Pilihan oleh Hagnas
Anak bukan hak mutlak!
Anak bukan hak mutlak! © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Anak bukan hak mutlak! Anak bagi ibu bapa sangatlah istimewa. Seorang anak menjadi bukti malah pengikat cinta antara suami dan isteri. Anak-anak menambahkan lagi kebahagiaan suami dan isteri.

Semua suami dan isteri yang mengikat sebuah ikatan perkahwinan yang sah sangat mengharapkan dan menanti kehadiran anak dalam bahtera keluarga mereka.

Anak bukan hak mutlak – anak dan hak

Bahkan bagi pasangan suami dan isteri yang diuji dengan ketiadaan anak, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat dan menyambung zuriat mereka. Tidak kurang juga pasangan suami isteri yang mendapatkan anak angkat demi merasai keindahan dan kebahagiaan keluarga dengan kehadiran anak-anak.

Sebagai seorang ibu atau bapa, tentunya pada diri anak-anak itu wujud sebahagian hak buat ibu atau bapa. Bagi insan yang melahirkan anak, tentunya hak seorang ibu terhadap anaknya amat besar. Tidak kurang juga bagi seorang bapa, yang bukan sahaja membesarkan anak itu tetapi juga memelihara ibu kepada si anak itu.

Namun sejauh manakah hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka? Adakah ibu bapa punya hak yang mutlak untuk melakukan apa sahaja terhadap anak-anak mereka? Tentunya tidak. Kerana anak-anak juga adalah amanah buat mereka.

Elok sekali untuk para ibu bapa sedar bahawa anak-anak mereka adalah amanah dari Allah SWT buat mereka. Anak-anak bukanlah semata-mata suatu kemuliaan untuk dibangga. Anak-anak juga bukan milik ibu bapa yang mutlak.

Anak itu amanah Allah SWT

Allah Taala telah memilih ibu bapa sebagai pemegang amanah untuk memelihara suatu amanah yang begitu berharga lagi istimewa, itulah anak mereka. Oleh kerana itu, amatlah perlu untuk ibu bapa memelihara dan menjaga anak-anak ini sesuai dengan kehendak pemilik mereka yang mutlak, iaitu Allah SWT.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak seorang bayi pun kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah. Lalu kedua orangtuanyalah yang menjadikan dia Yahudi atau Nashrani atau Majusi, sebagaimana hewan ternak yang dilahirkan selamat apakah engkau merasakan adanya cacat?”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Bacalah jika engkau mahu (firman Allah ta’ala): “Fitrah Allah yang menciptakan manusia diatas fitrah tersebut. Tidak ada perubahan terhadap ciptaan Allah.”

(Quran surah ar-Rum, ayat 30)

Panduan pemeliharaan anak-anak yang cemerlang telah begitu jelas dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Marilah sama-sama kita mempelajarinya dan mengamalkannya dalam mendidik anak-anak kita.