Anak istimewa – didikan dan latihan

dreamstime_s_186772809
Anak istimewa - didikan dan latihan © Jordi Mora Igual | Dreamstime.com

Anak-anak istimewa adalah tergolong dalam Orang Kelainan Upaya (OKU). Seorang anak istimewa sudah pasti memerlukan didikan dan latihan. Ibu bapa boleh mengusahakan anak-anak ini untuk berjumpa pakar-pakar yang berkaitan supaya dapat mengenal pasti kelebihan atau kemahiran yang dimiliki mereka.

Saat kelahiran anak memang begitu mengujakan buat ibu bapa. Namun pastinya para ibu bapa akan lebih risaukan masa hadapan anaknya jika anak yang lahir itu merupakan anak istimewa. Malah stigma masyarakat yang memandang rendah golongan anak istimewa ini juga tidak membantu.

Reda dengan kurniaan Allah SWT

Apa sahaja takdir Allah SWT ialah takdir terbaik buat kita. Yakinlah bahawa Allah telah menganugerahkan dan mengamanahkan anak ini buat kita. Allah akan sentiasa bersama-sama sebagai penguat segala sumber usaha ibu bapa.

Sebagai ibu bapa perlunya membuang jauh-jauh rasa rendah diri dan terhina. Jika tidak sifat ini jugalah yang akan hadir dalam diri anak-anak istimewa ini. Reda dengan kurniaan dan pemberian dari Allah SWT.

Anak istimewa ini sepertimana anak-anak yang lain, adalah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT. Usahlah anggap anak-anak istimewa ini sebagai masalah. Semestinya anak-anak istimewa ini memerlukan lebih perhatian dan juga kasih sayang dari ibu bapa.

Layani mereka seperti anak-anak yang lain. Didik anak-anak yang lain untuk menyanyangi dan menghormati anak-anak istimewa ini. Kesabaran yang tinggi pastinya diperlukan dalam menangani mereka.

Didikan agama secukupnya, latihan untuk berdikari

Bawa mereka kemana-mana yang boleh disertai. Sesetengah ibu bapa bertindak menyembunyikan anak istimewa mereka dari tatapan umum. Jika boleh ajarlah mereka untuk bergaul supaya apabila mereka meningkat dewasa, mereka tidak rasa rendah diri terhadap diri sendiri.

Beri pelajaran dan didikan agama yang secukupnya berdasarkan keperluan mereka. Jika mereka memerlukan pendidikan khas, usahakan agar mereka tidak ketinggalan sama ada dalam bidang pelajaran dan juga agama.

Latih dan ajar anak-anak istimewa ini untuk berdikari dan melakukan tugasan yang boleh dilakukan sendiri. Berkat kesabaran dan didikan tanpa penat dan jemu, insya-Allah anak-anak istimewa ini kelak dapat berdikari sendiri melayari kehidupan yang penuh cabaran.

Semua yang dijadikan Allah SWT pasti ada hikmahnya. Mungkin kehadiran anak-anak Syurga ini sebagai tiket besar untuk para ibu bapa menuju ke Syurga Allah.