Anas r.a, pembantu Rasulullah SAW dan sahabat paling lama hidup

Terkenal 27 Nov 2020 Hanita Hassan
dreamstime_s_153454216
Anas r.a, pembantu Rasulullah SAW dan sahabat paling lama hidup © - Dreamstime.com

Anas bin Malik bin Nadar al-Khazraji Al-Ansari r.a (612-712 Masihi) antara sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dan paling lama hayatnya. Beliau diajar mengucap dua kalimah syahadah atas bimbingan ibunya Al-Humayshak binti Milhan.

Ketika itu usianya masih muda dan hatinya membuak-buak cintakan Nabi Muhammad SAW. Bapanya, Malik Ibn Nadr meninggal dunia sebagai seorang yang bukan muslim.  Kemudian ibunya berkahwin lain dengan lelaki yang juga baharu memeluk Islam, Abu Talha Ibn Thabit. Anas mendapat seorang abang tiri, Abdullah Ibn Abu Talha.

Anas bin Malik Al Ansari r.a, si Unais

Semasa Rasulullah SAW bersama sahabat Abu Bakar As-Siddiq r.a tiba di Madinah, Anas r.a adalah salah seorang anak kecil di antara para lelaki dan kanak-kanak yang berkobar-kobar penuh keterujaan menunggu kehadiran Baginda.

Saat itu tidak pernah luput daripada benak Anas r.a. Dua hari yang sangat terkesan baginya ialah hari ketika pertama kali bertemu Nabi Muhammad SAW, dan hari ketika berpisah dengan Baginda buat selamanya.

Tidak ada seorang pun kaum Ansar di Madinah yang tidak memberi hadiah kepada Rasulullah SAW termasuklah keluarga Anas bin Malik r.a.  Disebabkan mereka tidak punya harta, maka Al-Humayshak telah menghadiahkan anaknya Anas kepada Rasulullah.

Ketika melihat Anas r.a, Baginda sangat gembira lalu mengusap rambutnya dan menjadikan dia sebahagian daripada keluarga. Pada usianya 10 tahun, Anas atau panggilan manjanya Unais mula berkhidmat untuk Rasulullah SAW.

Anas r.a hidup dalam lindungan dan asuhan Nabi Muhammad SAW selama 10 tahun iaitu sehingga wafatnya Baginda.  Beliau telah minum untuk pertama kalinya daripada pemberian Rasulullah yang membersihkan jiwanya.

Menerima dan menghafal beberapa hadis daripada Nabi Muhammad SAW, mengetahui keadaan, khabar, rahsia dan akhlak Baginda yang tidak seorang pun mengetahui melainkan dia.

Sahabat terakhir yang meninggal dunia, yang paling lama hidup

Suatu hari Nabi Muhammad SAW berkata kepada Anas r.a:  “Ya bunaya (wahai anakku tersayang).  Jika engkau masih ditakdirkan melihat pagi dan petang hari dan tidak pernah terdetik sedikit pun di hatimu untuk melakukan penipuan, maka amalkanlah hal itu.  Barangsiapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di syurga.  Wahai anakku, jika engkau menemui keluargamu (ibu bapamu), ucapkanlah salam, maka akan datang keberkatan di hatimu dan di hati keluargamu.”

Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Anas r.a mengisi kalbunya dengan ilmu-ilmu Baginda dan memenuhi akalnya dengan fikah kenabian.  Beliau juga menghidupkan hati para sahabat dan tabi’in dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW.

Setiap ucapan dan perbuatan Nabi Muhammad SAW dikisahkan oleh Anas r.a. Dia menghibahkan seluruh umurnya untuk kaum muslimin, menjawab setiap persoalan dan pertanyaan merujuk permasalahan mengenai pemahaman hukum.

Rasulullah SAW sering mendoakan Anas bin Malik r.a dan salah satu doanya berbunyi: “Ya Allah, anugerahkanlah kepadanya harta dan keturunan dan berkatilah dia!”  (Doa Rasulullah untuk Anas Ibnu Malik Al-Ansari)

Allah SWT telah memakbulkan doa Baginda. Semasa hidupnya, Anas r.a adalah orang Ansar yang paling banyak harta dan keturunan hampir mencapai 100 orang. Allah memberkatinya sehingga hidup selama 103 tahun.

Anas bin Malik Al-Ansari r.a meninggal dunia di Basrah tahun 93 Hijrah, dan meriwayatkan banyak hadis. Beliau merupakan perawi hadis Nabi Muhammad SAW, selain Abu Hurairah r.a dan Abdullah bin Umar r.a. Semoga Allah SWT sentiasa membalas kebaikan Anas dan ibunya dengan balasan yang berkali ganda lebih baik.