Anda dan sesi temuduga – beberapa tips

Businessman waiting with patience for meeting.
Tips menghadiri temuduga © Studio Grand Web | Dreamstime.com

Kehadiran pandemik COVID-19 telah memberikan impak dan kesan yang besar terhadap peradaban manusia di seluruh dunia. Selain gaya hidup masyarakat dunia terpaksa diubah, impak besar kepada keadaan ekonomi semasa telah menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan. Artikel ini berkisar tentang pencari kerja – anda dan sesi temuduga – beberapa tips mudah yang boleh digunakan.

Pelbagai organisasi dan syarikat mengambil keputusan untuk mengecilkan perbelanjaan dan mengurangkan pekerja bagi menjamin kelangsungan hayat syarikat. Kesannya ramai pekerja yang hilang pekerjaan. Kini setelah beberapa bulan pandemik ini berlarutan, ekonomi dunia kembali menunjukkan tanda-tanda positif.

Beberapa tips menghadiri temuduga kerja

Banyak syarikat dan organisasi mula menawarkan kembali peluang-peluang pekerjaan. Sungguh bertuah bagi mereka yang mendapatkan peluang dan dipanggil ke sesi temuduga. Untuk yang berjaya dipanggil ke sesi temuduga, ada beberapa tips menghadiri temuduga kerja yang boleh anda ikuti.

Berpakaian kemas dan sesuai dengan pekerjaan yang diminta

Kebiasaannya pakaian yang perlu dipakai ialah pakaian formal. Pastikan anda siap sedia dengan pakaian yang kemas dan bersesuaian untuk ke sesi temuduga. Penampilan pertama anda adalah penting untuk menarik perhatian panel penemuduga.

Buat kajian mengenai bakal majikan

Ambil masa untuk buat kajian mengenai bakal majikan anda. Dapatkan juga maklumat mengenai skop tugasan kerja yang bakala dilakukan dengan jawatan yang anda minta. Sekurang-kurangnya anda perlu tahu secara ringkas mengenai sejarah penubuhan syarikat, visi dan juga misi.

Sediakan dokumen-dokumen penting

Sediakan dan susun dokumen-dokumen penting untuk sesi temuduga di dalam fail khas. Pastikan anda membawa dokumen yang asal beserta dengan salinannya sekali. Bawa juga beberapa keping gambar perukuran pasport yang terkini. Sediakan juga alat tulis yang asas seperti pen.

Kenalpasti lokasi temuduga

Sila pastikan lokasi temuduga beberapa hari sebelum sesi temuduga berjalan. Rancang perjalanan anda sebaiknya.

Datang awal untuk sesi temuduga

Datanglah lebih awal sekitar 30 minit sebelum masa temuduga sebenar. Anda akan lebih tenang dan tidak perlu terburu-buru.

Yakin dengan diri anda

Terpanggil ke sesi temuduga juga membuktikan anda layak untuk jawatan yang dipohon. Selebihnya yakin dengan diri anda. Mohon doa kepada Allah SWT dan pastinya akan ditawarkan bekerja jika itu adalah aturan yang terbaik buat anda.

Duduk dengan postur badan yang betul

Duduk dengan posisi badan yang betul ketika sesi temuduga. Cuba duduk dengan tegak dan condongkan badan anda ke hadapan sedikit. Elakkan dari duduk dengan kaki bersilang, berpeluk tubuh, memasukkan tangan ke dalam poket seluar dan kurang pergerakan badan dan tangan yang tidak perlu.

Dengar dan jawab

Dengar dahulu soalan dari panel penemuduga dengan sebaik mungkin dan jawab satu persatu soalan yang diajukan dengan tenang.

Itu sahaja beberapa tips menghadiri temuduga. Semoga ianya dapat membantu anda. Semoga ada rezeki bagi anda yang bakal menghadiri temuduga. Usaha tangga kejayaaan.