Andai Ini Tahun Hijrah Terakhir Buatku

Masa dirasakan begitu pantas berlalu.

Pejam celik, siang malam bersilih ganti, kini kita sudah memasuki tahun baru dalam kalendar Islam, 1441 Hijrah.

Tahun yang bermula dari peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah itu menandakan syiar Islam mula tersebar dengan meluas ke segenap pelosok dunia.

Apa yang pasti, kita harus memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk bernafas di muka bumi Allah ini.

Bukan untuk berlumba-lumba siapa yang dapat hidup lebih lama, namun untuk mengisi seluruh kehidupan dengan segala macam hal dunia dan bekalan akhirat.

Justeru, pada awal tahun 1441 Hijrah ini, penulis ingin mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak.

Andai ini tahun Hijrah terakhir

Bagaimana jika ini merupakan tahun Hijrah terakhir untuk diri kita?

Sebagai manusia biasa, sudah pasti kita tidak dapat menentukan bilakah waktu usia kita akan tiba di penghujungnya, bilakah sinaran matahari terakhir dapat kita lihat dan bilakah kali terakhir kita dapat menatap wajah insan-insan yang kita sayang?

Sudah bersediakah kita memasuki tahun baru ini dengan setiap amalan dan bekalan akhirat yang kita bawa atau bak kata orang, ia sekadar cukup-cukup makan ataupun nyawa di hujung tanduk?

Jadi, bagaimana untuk memastikan kita dapat melangkah masuk ke tahun baru dengan lebih yakin dan bersedia dari segi rohani dan jasmani, duniawi dan akhirat?

Jawapannya, cubalah untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

Bagaimana pula caranya untuk kita benar-benar yakin dan mampu berhijrah ke arah lebih baik serta memastikan agar kita tidak terkandas di pertengahan jalan?

 

Bersihkan hati daripada menjadi hitam

Sudah pasti ramai daripada kita yang mempunyai pelbagai azam tahun baru, bukan? Tidak kiralah sama ada azam dari sudut duniawi atau akhirat.

Namun, kali ini mari kita fokus kepada azam dari sudut keimanan dengan Allah.

Perkara paling asas yang perlu kita lakukan adalah untuk membersihkan hati daripada segala hasad dengki, iri hati, rasa benci atau dendam kepada orang lain, yang tanpa kita sedari telah membuatkan hati kita menjadi hitam.

Apabila hati menjadi hitam, ia akan menghalang diri kita daripada berasa tenang, bahagia dan positif dengan kehidupan kita.

Itu adalah prinsip asas kerohanian yang perlu kita lakukan jika kita mahu memiliki kehidupan yang bahagia tanpa ada rasa sakitnya hati.

Jadi, jika selama ini kita ada berdendam atau masih belum memaafkan sesiapa, cuba ikhlaskan hati dan maafkan mereka.

Jika selama ini kita sering berasa iri hati melihat kehidupan orang lain atau sering merungut dengan kehidupan sendiri, cuba berlapang dada dan doakan kebahagiaan orang lain.

Percayalah, jika anda mengamalkan perkara-perkara tersebut, hati akan menjadi tenang, senang dan lebih bahagia.

 

Pelihara solat lima waktu

Kedua, sebagai seorang yang beragama Islam, apakah tiang agama kita? Jawapannya, sudah pasti solat lima waktu.

Jika selama ini solat kita tidak cukup lima kali sehari atau tikar sejadah di rumah itu dibiarkan sahaja berhabuk dalam almari, apa kata kita cuba cukupkan perkara utama yang wajib itu.

Paksa diri untuk bersolat. Jika mata berasa sukar sekali untuk bangun bersolat subuh pada pukul 6 pagi, set alarm jam setiap 10 minit sehingga kita benar-benar bangun dan berwuduk untuk bersolat.

Mungkin pada awalnya kita perlu memaksa diri. Namun, jika ia diamalkan, percayalah anda akan berasa takut sekali untuk meninggalkan solat secara sengaja.

Jika solat kita dipelihara dengan baik meski kurang sempurna pada awalnya, Allah pasti akan mendengar setiap doa-doa kita dan urusan harian kita akan lebih dipermudahkan.

Inilah seterusnya yang akan membawa kepada pelbagai perkara baik yang lain yang akan berlaku dalam kehidupan kita, kerana solat itu seharusnya dapat memelihara seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Seterusnya, lakukanlah perkara-perkara yang baik seperti berbuat baik kepada kedua ibu bapa, orang di sekeliling, bersedekah, memperbanyakkan ibadah sunat dan banyak lagi yang dapat mendekatkan diri kita dengan Dia.

Lakukanlah semua perkara itu seolah-olah seperti ini adalah tahun Hijrah terakhir buat kita.

Berhijrahlah dengan lebih baik, semampu seadanya kerana kita tidak tahu entah bila tahun Hijrah kita akan terhenti buat selamanya.

Foto: Abdulmeilk Majed & Ali Arapoğlu (Pexels), Aliko Sunawang, Ifrah Akhte & Mohamed Nohassi (Unsplash)

 

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Sebagai manusia biasa, sudah pasti kita tidak dapat menentukan bilakah waktu usia kita akan tiba di penghujungnya, bilakah sinaran matahari terakhir dapat kita lihat dan bilakah kali terakhir kita dapat menatap wajah insan-insan yang kita sayang?