Animasi taraf dunia – Ejen Ali, Boboiboy dan Upin & Ipin

Seni Abi Aasim 27-Jun-2020
Ejen Ali © Faiz Zaki | Dreamstime.com

Tahun 2019 merupakan tahun emas buat pengeluar filem animasi tempatan. Filem-filem animasi, Upin dan Ipin – Keris Siamang Tunggal, Boboiboy The Movie 2 dan Ejen Ali The Movie telah mendapat kutipan tiket yang sangat memberangsangkan.

Kutipan tiket panggung wayang gambar bagi ketiga-tiga filem ini mencecah lebih RM 80 juta. Kesemua filem animasi tempatan ini mendapat kutipan tiket berjumlah lebih RM 20 juta. Kejayaan ini sememangnya sesuatu yang perlu dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

Bukan sekadar jaguh kampung, filem animasi keluaran syarikat Animonsta Studios Sdn Bhd, Boboiboy The Movie 2 berjaya menjadi finalis bagi kategori Animasi 3D Terbaik di New York Animation Film Awards 2020 (NYAFA).

Selain itu,  BoBoiBoy The Movie 2 juga pernah meraih kejayaan memenangi kategori Poster Terbaik dan Trailer Terbaik di Festival Filem Laurus yang berlangsung di Rusia. Kemenangan ini secara tak langsung melonjakkan nama Malaysia dalam persada filem animasi di peringkat global.

Sementara itu, filem animasi keluaran Les Copaques, Upin dan Ipin yang mengisahkan pengembaraan pasangan kembar Upin dan Ipin juga berjaya meraih kemenangan dalam kategori Festival Filem Animasi Antarabangsa (Animaze) di Montreal, Kanada. Selain itu filem Upin dan Ipin turut terpilih mewakili negara untuk bersaing pada kemuncak Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) bagi kategori Filem Cereka Terbaik.

Lebih membanggakan apabila filem Upin dan  Ipin – Keris Siamang Tunggal,  berjaya mencatat sejarah menjadi filem animasi tempatan pertama yang  berjaya menempatkan diri dalam senarai 32 calon awal kategori Filem Animasi Terbaik, Anugerah Akademi 2020.

Satu lagi filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie turut mendapat kejayaan besar dengan kutipan tiket yang membanggakan di negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. Malah filem animasi Ejen Ali ini turut mendapat pujian khas daripada bekas Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr Mahathir. Katanya, “Dari segi cerita, teknologi, muzik (adunan), saya rasa ini boleh dikata berkelas dunia.”

Kejayaan filem animasi tempatan ini pastinya membuka mata dunia mengenai kehebatan industri perfileman animasi filem tempatan. Siapa kata produk Malaysia tak berkualiti?