Antara ciptaan Muslim yang meneraju dunia kini

Al-Jabr atau Algebra © Oleg Dudko | Dreamstime.com

Agama Islam membawa rahmat ke seluruh alam. Sejak kedatangan Islam, umat Islam telah menjadi peneraju dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran negara. Pembangunan dan kemajuan Islam turut melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains, kimia perubatan dan pelbagai bidang lagi. Hasil kajian, penemuan dan ciptaan para pakar-pakar Islam dalam bidang mereka telah menjadi pemacu dunia moden masa kini.

Antara ciptaan umat Islam yang telah memanfaatkan penduduk dunia ialah:

Berus gigi – Berus gigi telah dicipta oleh Rasulullah SAW. Rasulullah merupakan orang pertama yang menggunakan kayu sugi daripada pokok Miswak untuk membersihkan gigi dan menyegarkan nafas Baginda. Perbuatan Baginda telah dijadikan contoh dan daripada situ menjadi inspirasi penghasilan berus gigi moden yang digunakan pada hari ini.

Algebra – Al-Khwarizmi telah memperkenalkan algebra kepada dunia umum. Tokoh matematik Islam ini juga adalah perintis kepada penggunaan nombor.

Pembedahan – Seorang doktor yang terkenal bernama Al-Zahrawi telah menerbitkan sekitar 1500 halaman ensiklopedia bergambar tentang pembedahan yang telah digunakan di Eropah sebagai rujukan perubatan. Hasil penerbitan beliau telah membuka jalan bagi ilmu pembedahan untuk 500 tahun akan datang dari zamannya. Al-Zahrawi merupakan orang pertama menggunakan lapisan dalam usus haiwan sebagai benang untuk menjahit luka dalaman, satu-satunya bahan yang boleh diserap badan manusia kerana ketika itu pembedahan kedua sentiasa diperlukan untuk mengeluarkan jahitan. Beliau juga dilaporkan sebagai orang pertama yang melakukan pembedahan Caesarean dan mencipta kelahiran menggunakan forseps.

Universiti – Penciptaan universiti oleh orang Islam bertepatan dengan konsep Islam bahawa pendidikan adalah teras dalam kehidupan Islam. Universiti dilaporkan telah dicipta pada tahun 859 Masihi oleh Fatima Al-Fihri di Mahgribi. Malah dilaporkan universiti yang diasaskan beliau juga yang pertama menganugerahkan ijazah kepada para graduannya. Hasil pembukaan universiti pertama ini telah melahirkan pelbagai universiti di seluruh dunia yang menjadi tempat penyelidikan dan pembelajaran umat manusia.

Cermin mata – cermin mata adalah satu keperluan bagi mereka yang mempunyai penglihatan yang kabur. Cermin mata dilaporkan telah dicipta oleh Abbas Ibn Firnis. Hasil ciptaan ini telah membantu jutaan penduduk dunia yang mengalami masalah penglihatan yang kabur.

Ciptaan-ciptaan umat Islam ini telah menjadi pemangkin kemajuan dunia moden masa kini. Tokoh-tokoh Islam ini memang sangat dikagumi dan dihormati bukan sahaja oleh dunia Islam, malah oleh dunia barat. Malah lebih menakjubkan apabila ada hasil ciptaan mereka ini yang mendahului zamannya beratus-ratus dan beribu tahun ke hadapan.