Anti vaksin dan kesan terhadap masyarakat

Kesihatan Fizikal Hanita Hassan
Hanita Hassan
Anti vaksin dan kesan terhadap masyarakat
Anti vaksin dan kesan terhadap masyarakat © Bernard Chantal | Dreamstime.com

Anti vaksin adalah menolak penggunaan vaksin kerana menganggap ia mengandungi bahan terlarang dan bercanggah dengan agama. Tidak kurang yang berpendapat vaksin boleh mengakibatkan kemudaratan kepada anak mereka.

Penolakan golongan anti vaksin terhadap penggunaan vaksin untuk imunisasi bayi dan kanak-kanak dikatakan antara sebab dan gangguan kepada kemunculan penyakit berjangkit yang sudah berkurangan di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini.

Anti vaksin dan kesan terhadap masyarakat

Meskipun begitu, terdapat banyak sebab lain.  Antaranya kesan migrasi, proses kemodenan, penerokaan kawasan tanah baharu, globalisasi perdagangan, makanan, kehadiran pelancong, perubahan gaya hidup dan kerentangan kepada antibiotik.

Namun ramai yang menyalahkan golongan anti vaksin termasuklah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menganggap ia sebagai ancaman kesihatan global.

Penyakit berjangkit boleh diklasifikasi kepada pelbagai pemahaman tetapi secara asasnya ia terbahagi kepada cara jangkitan, bagaimana ia menular dan organisma penyebab.

Di Malaysia, beberapa jenis penyakit berjangkit telah muncul semula.  Antaranya penyakit anjing gila (Rabies), Difteria, Polio dan Campak.  Penyakit campak juga turut meningkat secara mendadak di negara-negara seperti Samoa, Amerika Syarikat, Ukraine, Costa Rica dan terbaharu di Filipina.

Apabila program vaksin imunisasi diperkenalkan di seluruh dunia, kadar kes penyakit berjangkit berkurangan termasuk di Malaysia.  Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1950-an.

Berbagai imunisasi dan vaksin di Malaysia

Sejak itu, ia telah mencegah 12 jenis penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu. Kadar kematian kanak-kanak juga menurun sebanyak 85% dalam tempoh 1970 hingga 2017.  Daripada 55.9% kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4% kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Di negara kita, setiap bayi dan kanak-kanak warganegara mendapat kemudahan imunisasi percuma di klinik-klinik kerajaan.  Vaksin yang diberikan termasuklah BCG.  Ia bertujuan melindungi jangkitan Tuberkulosis, DTap iaitu kombinasi vaksin yang  memberi perlindungan terhadap Difteria dan Tetanus.

Kita juga boleh mendapatkan vaksin Hib iaitu Haemophilus Influenzae type B, MMR untuk jangkitan campak, beguk dan Rubella serta MR iaitu dos booster yang memberi perlindungan campak dan Rubella di klinik kerajaan.

Di Sarawak, bayi dan kanak-kanak diberi vaksin tambahan iaitu JE (Japanese Encephalitis). Manakala untuk remaja perempuan 13 tahun, vaksin Human Papillomavirus (HPV) sebanyak dua dos dalam tempoh enam bulan daripada dos pertama.

Pemberian vaksin merupakan salah satu cara pencegahan penyakit atau untuk perubatan.  Setiap ubat yang bermanfaat adalah diiktiraf oleh Islam. Penjagaan kesihatan sahaja tidak mencukupi untuk mengelakkan anda tidak terkena penyakit berjangkit.

Dapatkan maklumat tepat tentang imunisasi

Masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin. Ada yang masih percaya vaksin menyebabkan kesan mudarat yang serius.

Antara teori popular yang dipegang oleh golongan anti-vaksin ialah dakwaan kemungkinan kaitan antara campak – beguk – rubella vaksin (MMR) dan autism.

Kita hanya akan sedar betapa bernilainya waktu sihat apabila sakit. Rasulullah SAW memberi peringatan dan bersabda yang maksudnya:

“Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Islam menyarankan umatnya sentiasa menjaga tubuh badan.  Kita digalakkan mengamalkan cara hidup sihat. Menjaga tubuh badan agar sihat adalah amanah dalam hubungan manusia dengan Allah SWT.

Justeru, dapatkan maklumat yang tepat tentang imunisasi supaya anda tidak menjadi penyebab kepada penularan penyakit berjangkit kepada masyarakat.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.